Pantau penjualan VoIP

Pantau penjualan VoIP

DR SHAFIZA MOHD. SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan atau mana-mana pihak bertanggungjawab perlu segera memantau penjualan alat  panggilan suara (VoIP) yang dijual berleluasa secara atas talian bagi mengelakkan ia terus disalah guna. 

Ketua Sekysen Keselamatan Siber Institut Teknologi Maklumat Malaysia (MIT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, ini kerana sindiket penipuan yang dipercayai menggunakan alat itu tidak dapat ditangani selagi dijual secara berleluasa tanpa kawalan. 

Katanya, Ini berikutan alat VoIP itu merupakan satu alat yang kosnya lebih efisien untuk telokomunikasi berbanding kos telekomunikasi yang lain. 

“Kos VoIP lebih rendah sebab ia menggunakan internet, jadi memang orang akan beli. Cuma scammer ini salah menggunakan teknologi sedia ada. 

“Scammer menggunakan VoIP untuk sembunyikan maklumat sebenar mereka sebaba dia hanya perlu attach alat itu kepada komputer dan selepas itu boleh buat rakaman serta menukar suara kepada suara elektronik.

“Oleh itu, selagi kita tidak ada kaedah yang boleh memastikan bahawa nombor telefon yang kita dihubungi itu adalah daripada nombor sebenar atau sememangnya wujud, memang kita tak boleh atasi masalah ini, maka masalah itu juga akan sentiasa ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam. 

Semalam, akhbar ini melaporkan, sindiket penipuan yang beroperasi di negara ini dipercayai memperoleh nombor mangsa menggunakan alat VoIP yang dijual serendah RM1,000. 

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, alat itu yang boleh dibeli dalam talian seperti Alibaba mampu memintas nombor telefon dengan menyambung panggilan dibuat scammer kepada manamana nombor-nombor mangsa. 

Menurut sumber, jika ada nombor mangsa dapat dihubungkan, operator yang diupah sindiket mula menyamar mengikut kesesuaian mangsa. 

Mengulas lanjut, Dr. Shafiza berkata, masyarakat juga perlu menjadi lebih bijak sekiranya menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali atau mereka yang mendakwa daripada mana-mana perkhidmatan. 

Katanya, ini kerana ia merupakan kaedah yang boleh dilakukan dalam usaha mengekang kegiatan scammer daripada terus berleluasa. 

“Kalau boleh nombor yang tidak dikenali atau dikenali sekali pun jangan layan sebab mereka  boleh buat spoofing (boleh meniru nombor telefon pihak lain dan nombor yang tertera pada telefon). 

“Jadi, kita boleh menghubungi semula perkhidmatan yang didakwa itu menggunakan nombor telefon sebenar yang memang kita sedia maklum atau memang terdapat di dalam laman web perkhidmatan itu. 

“Kalau dikatakan tidak wujud atau individu yang didakwa dalam perbualan sebelum ini tidak tahu apa-apa, maknanya itu adalah scammer. 

“Oleh itu, paling mudah adalah kita cuba untuk mengelakkan diri dan lebih berwaspada sebab kita tak pasti yang menghubungi itu boleh jadi nombor yang sebenar atau scammer yang bertindak seperti perkhidmatan sebenar,” katanya. 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, alat berkenaan perlu dipantau kerana ia dilihat menyalahi data peribadi pengguna. 

Katanya, meskipun ada pihak yang mendakwa alat itu digunakan untuk tujuan pemasaran, namun ia tetap boleh disalah gunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. 

“Mereka boleh mendapatkan nombor daripada pelbagai kaedah, tetapi sebenarnya salah dan apatah lagi ia digunakan untuk tujuan jenayah atas talian. 

“Pihak kerajaan perlu meningkatkan teknologi yang ada supaya pihak yang menawarkan itu dapat dibanteras. Kita tidak mahu apabila ada kemudahan seperti ini digunakan lebih salah dan tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Beliau menambah, kerajaan juga digesa untuk mengenakan hukuman yang lebih berat bagi terus mengelakkan sindiket penipuan terus bergiat aktif. 

Katanya, ini kerana ia melibatkan penyalahgunaan teknologi dan kerugian yang besar kepada pengguna. 

“Hukuman yang dikenakan perlu menjadi pengajaran supaya tiada lagi mana-mana individu itu berani untuk mengulangi kegiatan tersebut. Selagi mana hukuman itu tidak munasabah, selagi itu mereka berani bertapak di negara ini. 

“Tetapi kalau undang-undang dikenakan terlalu rendah dan tidak ada tindakan susulan diambil dengan sindiket merasakan keuntungan diperoleh lebih besar dari hukuman, maka ia tidak menjadi pengajaran kepada mereka yang terlibat,” katanya.  -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya