TEMERLOH: Seorang pemuzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut dalam kemalangan jalan raya di kilometer 98.6, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menghala ke timur di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa berusia 34 tahun yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Suzuki GSX-R1000 disahkan maut oleh petugas perubatan Klinik Kesihatan Lanchang di sini apabila motosikalnya melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pikap.
“Polis menerima kejadian ini pada pukul 4.45 petang semalam dan hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila seorang wanita berusia 35 tahun yang beralamat di Kuantan yang memandu sebuah jip jenis Mitsubishi Pajero Sport berhenti di tepi jalan dan melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan jalan.
“Kejadian itu menyebabkan sebuah kenderaan pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun membrek secara mengejut. Pada masa yang sama datang sebuah motosikal ditunggang mangsa terus merempuh bahagian belakang kenderaan itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Menurut Mazlan, mangsa terjatuh di lorong laju, manakala motosikalnya tercampak ke atas bahagian belakang pikap tesebut.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan pada bahagian dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Hasil siasatan awal, kemalangan berpunca kecuaian pemandu jip wanita yang berhenti di bahu jalan dan melintas laluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pemandu jip dan seorang penumpang lelaki warganegara China berusia 37 tahun direman di Pejabat Trafik Temerloh pada pukul 4.40 petang semalam untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan. – UTUSAN










