fbpx

Operasi SAR cari dua nelayan hilang diperluas

SEBUAH bot Maritim Malaysia yang menyertai operasi SAR mencari dua nelayan hilang dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Redang, Kuala Terengganu, hari ini. 

KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa tragedi bot karam pada Isnin lalu yang memasuki hari keempat, diperluas ke 37.8 batu nautika persegi di perairan Pulau Redang di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, operasi disertai seramai 67 anggota penyelamat termasuk nelayan tempatan.

“Cuaca pagi ini yang baik dengan kelajuan angin 10 hingga 20 km/j dan ketinggian ombak pula antara 0.5 hingga satu meter diharap dapat melancarkan operasi pencarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, operasi turut disertai oleh enam penyelam bagi mencari mangsa hilang di dasar bot yang karam di perairan pulau peranginan itu namun tiada sebarang penemuan direkodkan. 

Pada Isnin lalu, sebuah bot yang membawa lima nelayan dan seorang tekong dari Kelantan karam  akibat dipukul ombak dalam kejadian ribut di perairan Pulau Redang pada 10 malam.

Dalam tragedi itu, seorang nelayan,  Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, terselamat selepas sempat berpaut pada penutup fiber tong ikan dan pelampung bubu.

Pada Rabu, operasi SAR menemukan  tiga mangsa yang lemas di perairan Pulau Redang iaitu Saludin Ismail, 50, Mohd. Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48.

Ketika ini, dua mangsa yang masih hilang ialah Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!