Lebih banyak krisis jika kerajaan ditadbir dengan sokongan minoriti

Lebih banyak krisis jika kerajaan ditadbir dengan sokongan minoriti

JALALUDDIN Alias ditemui pemberita sebelum mengadakan pertemuan bersama wakil rakyat dari BN di di Wisma UMNO, Seremban, hari ini.--UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengurusan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya membawa ketidakstabilan dan mendatangkan lebih banyak masalah. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberi amaran, lebih banyak krisis akan timbul apabila kerajaan negeri tidak mempunyai sekurang-kurangnya majoriti mudah di DUN. 

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, banyak perkara akan dipertikaikan seperti dasar dan perbelanjaan kerajaan selain pelaksanaan program kerajaan. 

“Tidak mungkin kita boleh menjalankan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti kerana banyak perkara yang boleh dipertikaikan. 

“Kamu tidak mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi. Jadi ia akan menimbulkan lebih banyak krisis pada masa depan,” katanya kepada para pemberita di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Beliau yang juga ADUN Sikamat berkata, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah menasihatkan beliau supaya meneruskan pentadbiran kerajaan negeri seperti biasa. 

Sebelum itu, kesemua 14 ADUN Barisan Nasional (BN) daripada UMNO telah mengisyhtiharkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar. 

Ia disusuli dengan kesediaan lima ADUN pembangkang untuk bekerjasama dengan UMNO. 

Berikutan itu, kerajaan Perpaduan kehilangan sokongan majoriti di DUN manakala UMNO dan Perikatan Nasional (PN) memiliki majoriti mudah.

Jalaluddin memberitahu, antara jalan terbaik menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku ketika ini ialah mendapatkan mandat baharu daripada rakyat. 

“Apabila kemelut ini berlaku, saya fikir elok kita serahkan balik kepada rakyat untuk dapatkan mandat baharu. DUN harus dibubarkan,” ujarnya. 

Ditanya langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh UMNO, beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan samada untuk meneruskan kerajaan sedia ada atau sebaliknya. 

Menurutnya, pihaknya yakin baginda akan membuat keputusan yang selaras dengan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN