PASIR PUTEH: Cubaan nelayan asing Vietnam yang melarikan diri selepas ‘merompak’ 200 kilogram (kg) gamat di perairan negara gagal selepas diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berhampiran sempadan Thailand pada jarak 40 batu nautika daripada Muara Tok Bali di sini semalam.
Bot yang dikemudi oleh seorang tekong dan empat awak-awak berjaya ditahan pada pukul 6.45 petang hasil rondaan rutin menerusi Op Khas Naga Barat dan Op Damai.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, bagaimanapun bot nelayan asing itu dikesan sedang menangguk gamat pada pukul 6 petang.
Menurutnya, sejurus menyedari kehadiran anggota Maritim Kelantan bot tersebut terus bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan 45 minit kemudian.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan telah menjumpai 200 kg gamat yang dipercayai di tangguk di dalam kawasan perairan negara.
“Semasa ditahan kesemua nelayan Vietnam itu gagal menunjukkan pengenalan diri dan sebarang dokumen yang sah. Bukan itu sahaja mereka turut gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Nor Adli memberitahu, kesemua suspek yang ditahan itu berumur antara 34 hingga 61 tahun.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan gamat, minyak diesel dan alat tangkapan termasuk bot dianggarkan bernilai RM429,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana kerana gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
“Kesemua nelayan asing terbabit juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya. – UTUSAN










