KOTA BHARU: Para perwakilan yang akan mengambil bahagian pada perbahasan di Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kedah perlu menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin dengan memberikan pandangan-pandangan bernas sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pandangan dan idea-idea bernas itu amat diperlukan dalam usaha mengukukah lagi kedudukan parti.
“Saya jangkakan ini muktamar terakhir sebelum PRU. Jadi saya minta perwakilan mengambil peluang itu sebaik mungkin untuk memberi pandangan bagi memastikan Pas mencapai kemenangan lebih besar pada PRU15 nanti,” katanya selepas menjadi ahli panel pada Himpunan Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kedua PN di Dataran Warisan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai muktamar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, Pas sentiasa terbuka dalam menerima teguran daripada ahli kepada pucuk pimpinan parti.
Katanya, perkara tersebut sudah menjadi rutin setiap kali muktamar berlangsung dan hasil pemerhatian yang dilakukan tiada isu besar yang akan dibahaskan kali ini.
Dianggarkan 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara akan hadir ke muktamar yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September ini. – UTUSAN