Menyamar wakil syarikat kutip hasil jualan 

Menyamar wakil syarikat kutip hasil jualan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Tindakan seorang lelaki menyamar sebagai wakil yang mengutip wang jualan daripada premis perniagaan di Selangor terbongkar, selepas dia ditahan dalam serbuan di Kota Emerald, Rawang, dekat sini pada 11 Ogos lalu.

Penahanan suspek berusia 32 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam hasil laporan pekerja sebuah kiosk milik syarikat telekomunikasi pada 18 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, kegiatan yang dilakukan sejak pertengahan tahun lalu itu adalah dengan memperdaya pekerja premis perniagaan supaya menyerahkan hasil jualan itu.

Kata beliau, pengadu memaklumkan terdapat seorang lelaki datang ke kiosk yang mengaku sebagai juruteknik syarikat telekomunikasi terbabit dan mahu mengutip wang jualan, menyebabkan wanita berkenaan ragu-ragu untuk menyerahkan wang.

“Suspek yang membawa pisau kemudian menyuruh pengadu tunduk di kaunter sebelum suspek mengarahkan pekerja berkenaan menyerahkan wang berkenaan dan terus melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Shafa’aton berkata, susulan penahanan itu, seunit telefon bimbit serta pakaian digunakan suspek ketika melakukan jenayah terbabit dirampas.

Jelas beliau, modus operandi suspek adalah menyamar sebagai wakil syarikat atau bank untuk mengambil wang hasil jualan dengan berpura-pura menelefon pengurus di hadapan pekerja di hadapan kaunter bagi meyakinkan mangsa.

“Malah, suspek juga berpura-pura dalam keadaan tergesa-gesa dengan alasan mahu memasukkan wang sebelum proses penutupan bil pada hari berkenaan.

“Suspek dipercayai menyasarkan kedai, farmasi, klinik dan lain-lain premis yang menggunakan peti wang tunai, dengan kegiatan berjalan antara pukul 4 petang hingga 7.30 malam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati suspek terbabit sekurang-kurangnya 40 kes jenayah termasuk jenayah komersial di Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM94,175.

“Semakan dilakukan mendapati suspek berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk dikehendaki bagi kes penipuan. Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek kini diserahkan kepada IPD Kuala Selangor untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun tanpa senjata api,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN