Mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja dibawa pulang - Utusan Malaysia

Mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja dibawa pulang

LEE Kar Meng (kanan) dalam sidang akhbar di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki rakyat Malaysia mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja sejak Januari tahun lalu selamat dibawa pulang ke tanah air. 

Lee Kar Meng, 32, menjadi mangsa pemerdagangan manusia apabila terperangkap dengan tawaran pekerjaan berkaitan perjudian yang menawarkan gaji yang lumayan di Kemboja.

Menurutnya, dia masuk ke negara itu tanpa dokumen perjalanan yang sah melalui jalan darat dan diarah bekerja dalam sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan penipuan dalam talian atau sindiket ‘scammer’’.

“Modus operandi syarikat ialah melakukan penipuan melalui laman sosial di WeChat, Facebook, Telegram dan QQ. 

“Caranya, kami dikehendaki menambah rakan dalam laman sosial tersebut dan bercinta atau menjual barang kepada mangsa.

“Namun, saya tidak tahu cara untuk memperdaya mangsa, disebabkan itu, saya dijual kepada enam syarikat sindiket scammer yang lain,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Penyelaras  MCA Ipoh Barat di sini hari ini.

Menurutnya, jika tidak dapat memperdaya mangsa, dia akan diletakkan dalam satu bilik di sebuah asrama. 

Katanya, sepanjang lebih setahun di sana, dia hanya memperoleh $AS600 sahaja daripada syarikat yang pertama.

“Selepas tidak mencapai piawaian di syarikat yang pertama, saya dijual ke syarikat kedua dan seterusnya. 

“Saya tidak dibayar gaji di enam syarikat lainnya, saya hanya diberi makan dan tempat tidur sahaja dan kami tidak dibenarkan keluar dari asrama,” katanya. 

Menurutnya, tanpa tindakan laporan polis yang dibuat oleh oleh bapanya dan  sidang akhbar mengenai dia dan dua lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan di luar negara oleh Biro Aduan dan Perkhidmatan awam MCA Perak pada Mei lalu, berkemungkinan dia masih berada di Kemboja.

“Saya dihalau oleh sindiket di sana kerana mereka terlihat sidang akhbar berkaitan kes pemerdagangan manusia rakyat Malaysia di Kemboja, Myanmar dan Thailand dua bulan lalu,” katanya.

Katanya, dengan berbekalkan beberapa helai baju, telefon bimbit dan kad pengenalan, dia terus ke balai polis berhampiran lokasi dia dikurung.

“Setelah tiga hari ditahan di balai polis, saya dibawa ke Imigresen Kemboja dan berada di bawah tahanan mereka dari 16 Mei sehingga 31 Julai lalu.

“Setelah lebih dua bulan di bawah tahanan mereka, saya dibawa pulang ke Malaysia,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya