Mahkamah bakal putuskan permohonan Najib masukkan bukti baharu - Utusan Malaysia

Mahkamah bakal putuskan permohonan Najib masukkan bukti baharu

NAJIB Tun Razak (tengah) hadir pada hari kedua perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara kesnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Persekutuan. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sedang berhenti seketika bagi membolehkan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan mengenai permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan beberapa bukti baharu.

Panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Terdahulu, prosiding hari kedua rayuan akhir bermula dengan pihak pendakwaan menyambung hujahan mereka berhubung permohonan Najib itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V. Sithambaram dalam hujahan ringkasnya menyatakan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu merupakan satu tindakan mencabar yang dibuat melalui afidavit.

Tindakan tersebut, ujar Sithambaram, tidak mengikut aturan yang ditetapkan maka ia wajar ditolak oleh mahkamah.

Tambahnya, mahkamah boleh mengarahkan afidavit itu ditolak kerana kandungannya adalah berdasarkan keterangan dengar cakap dan bukannya berdasarkan pengetahuan peribadi pemohon (Najib).

Sementara itu, peguam bela utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik dalam hujahannya pula menyatakan permohonan yang dikemukakan bukanlah untuk mempertikaikan maklumat mengenai jawatan yang dipegang oleh Hakim Mohd. Nazlan tetapi tindakan yang sepatutnya diambil oleh hakim bicara itu.

“Pihak kami mengakui bahawa jawatan hakim bicara dalam Maybank perada di domain awam, ini diakui. Tetapi apa yang dipertikaikan ialah, Hakim Mohd. Nazlan mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan perkara ini kepada pihak-pihak.

“Apabila tindakan ini tidak dilakukan, maka akan timbul syak wasangka. Syak wasangka ini sudah cukup untuk menunjukkan terdapat bahaya berat sebelah di pihak hakim bicara,”katanya.

Semalam, pihak pembelaan memohon untuk Mahkamah menerima masuk tujuh set dokumen antaranya keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Hakim Mohd. Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berhubung khidmat nasihat strategik yang diberikan oleh Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd (penasihat kewangan Maybank) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC International.

Ia juga berkaitan pinjaman RM140 juta yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development Berhad (anak syarikat 1MDB) pada tahun 2014 iaitu sumber RM42 juta yang menjadi perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.

Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung perananannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya