Pengarah Polong beri amaran jangan rakam sebarang babak dalam panggung - Utusan Malaysia

Pengarah Polong beri amaran jangan rakam sebarang babak dalam panggung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah filem, Polong, Zulkarnain Azhar  memberikan amaran keras kepada segelintir penonton yang dikesan melakukan rakaman babak filem tersebut secara haram di dalam panggung wayang.

Tambahnya Zulkarnain, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja merosakkan industri perfileman, malah merupakan satu kesalahan berat di bawah undang-undang negara dan boleh berdepan tindakan mahkamah.

“Saya ingin tekankan di sini, rakaman babak filem semasa tayangan adalah salah di sisi undang-undang di bawah Akta Cetak Rompak. Anda boleh didakwa.

“Jadilah penonton yang berhemah. Sokonglah karya tempatan dengan cara yang betul tanpa melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” tulisnya menerusi hantaran di aplikasi Threads.

Dalam pada itu, Zulkarnanin turut menzahirkan rasa terharu dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan padu terhadap filem Polong sejak hari pertama tayangan.

Katanya, sokongan luar biasa daripada penonton amat dihargai, namun  berharap keterujaan itu disalurkan melalui platform yang betul.

“Sangat terharu atas sokongan padu anda semua. Namun, saya mohon banjiri keterujaan filem ini dengan reviu dan perkongsian pengalaman anda selepas menonton, bukannya dengan merakam babak di dalam panggung.

“Teruskan sokongan anda terhadap filem Polong,” katanya lagi.

Terdahulu, filem Polong berjaya mengutip RM1.6 juta semasa hari pertama tayangannya.

Polong mengisahkan seorang wartawan jenayah, Fatima lakonan Mimi Lana, yang berusaha membongkar kisah silam seorang bomoh wanita bersiri dikenali sebagai Maria Hadi.

Naskhah tersebut turut diinspirasikan daripada kes jenayah berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara pada tahun 1993. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN