KUALA LUMPUR: Mahkamah Anti Rasuah perlu diwujudkan secara khusus bagi meningkatkan persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras jenayah berkenaan dalam negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, ia penting kerana persepsi tersebut semakin meleset, sekali gus usaha tersebut dapat membantu kerajaan meraih sokongan membabitkan semua pihak termasuk di peringkat eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Katanya, ia merupakan antara cadangan dikemukakan dalam Buku Laporan Tahunan JKMR Tahun 2020 yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bangunan Parlimen, hari ini.
“Mahkamah mengenai rasuah perlu diwujudkan di negara ini secara khusus dari Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, dengan hakim-hakim berpakaran tidak ditukar ganti mengikut musim.
“Ini akan memberi satu suasana ketetapan, kepakaran, juga kejituan mahkamah khusus mengenai rasuah. Ini berkait langsung dengan kedudukan Malaysia pada hari ini yang didapati kian lama kian menurun persepsinya,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara menambah, cadangan mewujudkan mahkamah itu berkait langsung dengan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 negara yang terus jatuh ke tangga 62.
“Justeru ini perlu diambil kira. Kami telah kemukakan dan ini merupakan salah satu cabaran besar dan mendapat perhatian kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, JKMR turut akan membawa isu berkenaan kepada jawatankuasa-jawatankuasa di bawah Parlimen serta berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah.
Tambahnya, antara isu lain yang juga dibangkitkan adalah mengenai prosedur dan jaminan penyimpanan barang kes oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diurus tadbir dan disimpan oleh Bank Negara.
“Atau bank bertauliah bagi tujuan mengelakkan barang kes hilang atau dicuri.
“Isu lain adalah ketidakseragaman tindakan dalam penguatkuasaan tindakan dalam menguatkuasakan penggunaan pakaian warna oren kepada tertuduh jenayah rasuah.
“Sesetengah dikenakan baju lokap SPRM warna oren sementara yang lain dibenarkan berpakaian segak kot dan tali leher,” jelasnya. – UTUSAN