Lelaki ditemukan mati berlumuran darah dipercayai dibunuh

Lelaki ditemukan mati berlumuran darah dipercayai dibunuh

ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh dalam kejadian di Kampung Merua, Parit, Perak, hari ini. - FOTO/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di hadapan sebuah rumah di Kampung Merua, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui Balai Polis Parit pada pukul 11.15 pagi dan terus ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah oleh penduduk kampung sebelum melaporkannya ke balai polis berdekatan.

“Bertindak atas maklumat, saya dan pasukan polis ke lokasi dan didapati seorang lelaki terlentang di hadapan rumah dengan mempunyai kesan nyata luka pada leher atas hadapan.

“Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun dan tinggal berseorangan di kediamannya dan belum berkahwin,” katanya kepada kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.

Barudin berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku di antara pukul 6.30 petang semalam sehingga mangsa ditemukan orang kampung pada pukul 10.30 pagi tadi.

Katanya, mangsa ditemukan seorang lelaki iaitu jiran sekampung yang datang ke rumahnya untuk meminjam pam racun sebelum membuat laporan polis.

“Kali terakhir mangsa dilihat ialah pada jam 6.30 petang semalam ketika berdiri di luar rumah melaung dan melambai seorang penduduk kampung yang melalui jalan berhampiran kediamannya,” katanya.

Barudin berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan pihak polis menolak kemungkinan rompakan memandangkan wang tunai mangsa tidak diusik selain keadaan rumah yang kemas dan teratur.

Katanya, kes diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN