Kontraktor kempunan seludup senapang, pistol

Kontraktor kempunan seludup senapang, pistol

NORLELA Ismail menunjukkan barangan yang dirampas JKDM Melaka dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk tiga laras senapang dan sepucuk pistol dengan mengisytiharkannya sebagai barangan hiasan logam gagal apabila dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka.

Pengarah JKDM Melaka, Norlela Ismail berkata, kontraktor berusia 36 tahun itu diberkas bulan lalu hasil maklumat disalurkan sebuah syarikat kurier.

Katanya, modus operandi suspek adalah menggunakan alamat syarikat kurier berkenaan sebagai penerima kesemua senjata dan peluru yang dipercayai ditempah dari Sepanyol.

“Apabila pesanannya sudah sampai di syarikat kurier terbabit, orang yang disyaki (OYDS) akan menghubungi mereka dan bertemu di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini untuk mengambil bungkusan itu yang diikrarkan sebagai barangan hiasan logam (handycarfts metal decorations).

“Dalam tangkapan 8 Jun lalu, OYDS terbabit ditahan dan JKDM menyita dua laras precision airgun, satu laras BB Rifle dan satu pucuk air pistol berserta tiga tin peluru di tempat letak kereta sebuah hotel di Ayer Keroh.

“JKDM turut menyerbu rumahnya di Bemban, Jasin dan merampas sepucuk lagi air pistol,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurut Norlela, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang sepuluh kali nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Norlela berkata, pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM23 juta berserta duti dan cukai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Kes-kes ini melibatkan rampasan rokok, minuman keras, kereta, mercun dan bunga api serta senjata api yang mana nilai keseluruhan barang rampasan beserta cukai berjumlah RM23,080,000.14. Ia melibatkan sebanyak 101 kes yang disenaraikan dalam Perintah Larangan Import 2017 dan Larangan Mengenai Import 2022 dengan membabitkan seramai penahanan 30 OYDS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya