Kilang kitar semula bateri beroperasi haram diserbu JAS P. Pinang

Kilang kitar semula bateri beroperasi secara haram diserbu JAS Pulau Pinang

SEBUAH kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium di Ara Kuda, Bukit Mertajam dikenakan penahanan operasi dan dikompaun oleh JAS Pulau Pinang selepas didapati beroperasi secara haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang berjaya membongkar taktik kotor sebuah kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium terpakai yang beroperasi secara haram di dalam kilang plastik.

Kilang itu yang terletak di Ara Kuda dekat sini diserbu sekumpulan pegawai JAS Pulau Pinang semalam dan dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, tindakan penahan operasi itu diambil selepas kilang terbabit didapati menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium dan lithium terpakai tanpa mendapat lesen terlebih dahulu.

Selain itu jelas beliau, ia juga bagi menghentikan pencemaran serta-merta akibat aktiviti pemanasan serta pembakaran buangan terjadual daripada terus berlaku yang boleh mengakibatkan pencemaran udara. 

“Sebanyak 93 kompaun dengan nilai keseluruhan RM186,000 dikeluarkan kepada pemilik premis atas kesalahan menjalankan pemerolehan kembali buangan terjadual bukan di premis yang ditetapkan dibawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. 

“Selain itu, kita turut menyita sebanyak 250 bekas yang mengandungi buangan bateri lithium dan kadmium terpakai dalam operasi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati bahan buangan itu dibawa masuk melalui kargo udara dipercayai bagi mengelakkan pemeriksaan ketat kontena melalui jalan laut. 

Berdasarkan siasatan awal juga jelasnya, premis terbabit dipercayai dimiliki oleh warga China.

Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah beberapa peruntukan termasuk Seksyen 18(1) iaitu beroperasi tanpa lesen yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 dan/atau maksimum dua tahun penjara.

Selain itu ujarnya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 34A(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan aktiviti kitar semula buangan terjadual tanpa mengemukakan laporan kajian dan memperolehi kelulusan impak alam sekitar (EIA) terlebih dahulu.

Kesalahan di bawah seksyen itu tegas beliau, memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM500,000 dan/atau penjara maksimum selama lima tahun.

“Dalam masa sama, premis ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan hukuman penjara maksimum selama lima tahun.

“Kita mengingatkan yang mana tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah alam sekitar atau pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN