KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh duduk berbincang bersama mereka.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew berkata, kerjasama itu tidak semestinya dengan Parti Warisan (Warisan) tetapi, dengan mana-mana parti yang terbuka untuk duduk berbincang bersama PH Sabah.
Beliau berkata, kerjasama dalam kalangan parti-parti pembangkang sangat penting bagi memastikan blok pembangkang termasuk PH memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Tawau itu berkata, komponen-komponen PH di peringkat negeri bekerja dengan cukup baik.
“Perpaduan dalam kalangan parti pembangkang sangat penting, termasuklah dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
“Saya percaya, kami mampu bekerjasama dengan semua komponen parti dalam PH Sabah bagi menghadapi PRU-15, begitu juga dengan Muda. Ini termasuk soal pembahagian kerusi,” katanya selepas sesi tinjauan mesra di Tamu Jalan Gaya semalam.
Menurut Christina, hanya melalui kerjasama yang padu sahaja mereka mempunyai peluang besar untuk menang lebih banyak kerusi pada PRU-15. Sekiranya berpecah, sasaran memenangi lebih banyak kerusi tidak mampu dicapai.
Beliau berkata, pembahagian kerusi di Sabah tidak akan menjadi masalah kepada komponen PH kerana setiap pemimpin parti komponen sedia berbincang dengan baik sebelum turun ke ‘medan perang’.
Mengulas lanjut katanya, parti tempatan mahupun parti nasional tidak harus menjadi isu kerana pada akhirnya kerjasama dengan kerajaan Persekutuan tetap diperlukan bagi mendapatkan peruntukan kewangan.
Semasa PRU-14, PH Sabah bekerjasama dengan Warisan sehingga berjaya membentuk kerajaan di peringkat negeri dengan penyertaan Pertubuhan kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke dalam Pakatan itu.- UTUSAN










