Keputusan SPM asnaf tidak memuaskan, MAINS tambah baik

Keputusan SPM asnaf tidak memuaskan, MAINS tambah baik program tuisyen

DR. ABDUL Aziz Sheikh Abdul Kadir (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada Rahimah Abdul Majid pada Majlis Penyerahan Rumah Mawaddah di Kampung Jimah Lama, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menambah baik program Aspirasi Kecemerlangan Asnaf anjurannya selepas mendapati keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diterima baru-baru ini yang melibatkan golongan berkenaan tidak begitu memuaskan. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, hasil keputusan SPM tersebut, terdapat seramai 465 orang pelajar asnaf di negeri ini memperoleh keputusan yang tidak begitu baik dan tentunya ia wajar diberikan perhatian.

“MAINS ada menyalurkan bantuan pendidikan tetapi nampaknya prestasi golongan asnaf bagi SPM baru-baru ini tidak begitu menggalakkan. Kami akan kaji dan lihat macam mana untuk tambah baik lagi program itu.

“Kami akan melihat semula kesesuaian program ini terutama berkaitan penyediaan tuisyen pada anak-anak asnaf ini. Ia termasuk untuk menyediakan tenaga pengajar yang lebih baik bagi meningkatkan lagi tahap pencapaian mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Mawaddah di Kampung Jimah Lama di sini hari ini. 

Menurutnya, terdapat dua buah lokasi yang menempatkan pelajar asnaf di bawah kendalian MAINS iaitu Darul Asnaf Sri Sendayan di Seremban dan Darul Asnaf Tanjung Ipoh di Kuala Pilah.

“Sebanyak RM400,000 telah diperuntukkan bagi Program Aspirasi Kecemerlangan Asnaf ini termasuk sebanyak RM250 sebulan kepada seorang pelajar asnaf untuk program tuisyen,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menjelaskan, sehingga kini, terdapat seramai 4,794 orang asnaf di Negeri Sembilan dan bagi tempoh bulan Januari sehingga Jun 2022 lalu, MAINS telah berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM71.2 juta kepada golongan asnaf berkenaan.

“Agihan meliputi bantuan kebajikan, bantuan perubatan dan hemodialisis, bantuan keusahawanan, bantuan pendidikan serta bantuan bencana alam dan musibah,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN