KUALA TERENGGANU: Kepupusan penyu belimbing dan perubahan iklim dunia yang semakin panas menyebabkan berlakunya ledakan ubur-ubur beracun di perairan Malaysia yang membahayakan manusia.
Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fazrul Hisam Abd. Aziz berkata, populasi ubur-ubur di perairan negara dikatakan lebih tinggi dalam bulan Julai, Oktober, November dan Disember.
Menurut beliau, peningkatan dan kehadiran ubur-ubur boleh dikaitkan dengan tiadanya lagi pemangsa seperti penyu belimbing yang mengawal letusan populasi ini.
Katanya, ubur-ubur juga terkesan dengan perubahan iklim dunia yang boleh mempengaruhi taburan serta pergerakannya.

“Hanya dua spesies ubur-ubur yang sering dikesan di perairan negara iaitu Chiropsoides Buitendijki dan Morbakka, namun ia tidak begitu berbahaya hingga menyebabkan maut kepada manusia.
“Sengatan ubur-ubur boleh menyebabkan kegagalan jantung untuk berfungsi, pening, muntah, tekanan darah naik secara mendadak dan masalah gatal-gatal kulit di tubuh mangsa.
“Rawatan awal boleh menyelamatkan mangsa dan paling penting bawa sekali sampel ubur-ubur itu untuk rujukan pegawai perubatan bagi memudahkannya memberi rawatan yang sesuai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, spesies ubur-ubur paling berbahaya ialah Irukandji kerana ia mampu membunuh manusia hanya dalam tempoh tiga minit namun ia tidak pernah dilaporkan berada di Malaysia.
“Bagaimanapun, tidak mustahil spesies ini berada di perairan negara kerana laluan kapal yang sibuk serta dipengaruhi oleh pelbagai faktor contohnya nutrien, suhu dan arus air kerana untuk kelangsungan hidup, setiap spesies marin bergerak di habitat yang sesuai.
“Seperti spesies lain, ubur-ubur juga mencari habitat yang sesuai untuk dihuni. Ini termasuk sumber makanan yang mencukupi serta faktor abiotik dan biotik yang sesuai,” katanya.
Semalam, seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis dilaporkan mati akibat terkena sengatan ubur-ubur ketika mandi di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, pada Selasa.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah ‘jellyfish envenomation’ atau sengatan ubur-ubur.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, sebanyak 10 kes serangan ubur-ubur dilaporkan di perairan negera ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Jelasnya, daripada jumlah itu, sembilan kes dilaporkan berlaku di Pantai Bukit Keluang, Besut dan satu lagi kes di Pantai Kampung Mangkuk, Setiu. – UTUSAN










