Kenyataan Khairuddin tidak gambarkan realiti sebenar - Ahmad Samsuri - Utusan Malaysia

Kenyataan Khairuddin tidak gambarkan realiti sebenar – Ahmad Samsuri

DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kenyataan bekas pemimpin Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali kononnya kerjasama Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai strategi yang salah dan tidak menguntungkan parti  itu adalah pandangan peribadi yang bersifat umum tanpa melihat konteks keseluruhan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pandangan bekas pemimpin Pas itu tidak menggambarkan realiti sebenar kerana ahli parti di peringkat akar umbi dapat menerima gabungan Pas dan Bersatu dengan hati yang terbuka.

“Itu pandangan dia dan terpulang kepada dia… kadang-kadang,  seseorang itu hanya melihat iceberg (bongkah ais) yang kecil di atas air sahaja, sedangkan dia tak tahu apa yang ada di bawah permukaan air itu lebih besar.

“Kalau kita hanya tahu di atas permukaan air dan terus buat satu kesimpulan, saya rasa kita tak berlaku adil kepada realiti yang ada, sepatutnya kena jadi divers (penyelam) juga untuk tengok apa sebenarnya yang ada di bawah (matlamat gabungan parti) baru lah tahu (keadaan sebenar).

“Saya tak kata 100 peratus orang (ahli parti) boleh setuju (Pas dengan Bersatu)… tapi, bila beri penjelasan, orang boleh faham. Dari masa ke semasa kita sentiasa buat dialog-dialog parti di pelbagai peringkat dan setiap kali ada persoalan mengenai perkara ini, kita beri penjelasan dan nampaknya ahli parti boleh terima,” katanya kepada pemberita selepas  merasmikan Persidangan Terengganu Sejahtera di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Dr. Mohd Khairuddin sebagai berkata, langkah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjalinkan kerjasama dengan Bersatu adalah strategi salah kerana sepatutnya kerjasama itu dijalankan dengan UMNO.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, beliau sendiri secara peribadi mempunyai hubungan yang baik dengan pimpinan UMNO di peringkat pusat.

“Secara dasarnya, hubungan menteri-menteri Pas dengan UMNO juga sangat baik dan kami sentiasa bekerjasama untuk manfaat semua.

“Saya sendiri ada buat pertemuan dengan pimpinan UMNO yang mahu berbincang secara kasual. 

“Pas masih kekal dengan prinsip Presiden iaitu mengutamakan perpaduan ummah dan ketiga tiga pihak iaitu Pas, Bersatu dan UMNO perlu ketepikan perbezaan, kerana perbezaan tidak akan selesai hingga kiamat sebaliknya cari titik persamaan, jika tidak dalam muafakat politik, mesti kerjasama dalam hal lain demi ummah,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN