Subsidi bahan api kekal, defisit fiskal dijangka 3.6 peratus - Utusan Malaysia

Subsidi bahan api kekal, defisit fiskal dijangka 3.6 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat sedikit kepada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, disokong kaedah pembiayaan subsidi, jumlah penerbitan bon kerajaan yang tidak berubah serta tiada perubahan perundangan seperti ketika pandemik Covid-19.

Ketua Ekonomi Hong Leong Investment Bank (HLIB), Felicia Ling berkata, terdapat kebimbangan dalam kalangan pelabur sama ada Malaysia masih mampu mencapai sasaran asal defisit fiskal iaitu 3.5 peratus daripada KDNK selepas kerajaan mengekalkan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.

Katanya, perkara itu menjadi perhatian kerana agensi penarafan kredit antarabangsa seperti Moody’s, S&P dan Fitch sentiasa memantau keupayaan kerajaan mencapai sasaran fiskal yang ditetapkan.

“Sekiranya berlaku penyimpangan besar daripada sasaran, ia boleh meningkatkan risiko penurunan penarafan kredit negara yang akhirnya memberi kesan kepada prestasi ringgit.

“Berdasarkan data semasa, perbelanjaan subsidi petrol dan diesel meningkat dengan ketara pada Mac dan April.

“Pada Januari dan Februari, perbelanjaan subsidi adalah sekitar RM800 juta sebulan, namun jumlah itu meningkat kepada RM4.7 bilion pada Mac dan RM4.9 bilion pada April susulan konflik yang berlaku.

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM15 bilion bagi menampung subsidi, iaitu bersamaan dengan keseluruhan peruntukan subsidi tahunan bagi 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Tinjauan Ekonomi Malaysia Separuh Kedua 2026 secara maya semalam.

Bagaimanapun, Felicia berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan di Parlimen bahawa kerajaan meningkatkan peruntukan subsidi tahun ini kepada RM40 bilion, termasuk tambahan RM25 bilion bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

Menurutnya, tambahan peruntukan RM25 bilion itu bersamaan kira-kira 1.2 peratus daripada KDNK.

“Secara teori, sekiranya sasaran asal defisit fiskal ialah 3.5 peratus daripada KDNK dan kerajaan menambah perbelanjaan sebanyak 1.2 peratus, terdapat kebimbangan defisit boleh meningkat kepada 4.7 peratus.

“Namun, kami tidak menjangkakan keadaan itu berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN