KOTA BHARU: Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang pernah diluluskan oleh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada tahun 1992 perlu diteliti sebaik mungkin sebelum boleh dilaksanakan selari dengan keputusan di peringkat Parlimen.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya akan melihat perkara tersebut dari sudut teknikal perundangan termasuk mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri sebelum membuat keputusan.
Katanya, penelitian tersebut turut melibatkan sama ada udang-undang yang diluluskan itu boleh diguna pakai atau perlu mengemukan RUU yang baharu.
“Undang-undang itu sudah ada, bagaimanapun kita (kerajaan negeri) tidak boleh laksanakannya ketika itu apabila ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hilang kelayakan iaitu melompat parti.
“Kes tersebut telah dirujuk ke mahkamah . Mahkamah kemudian membuat keputusan bahawa enakmen yang diluluskan itu bercanggah dengan perlembagaan dan tidak terpakai,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2022 di Kompleks Islam Darul Naim, di sini hari ini.
ADUN Panchor itu memberitahu, segala undang-undang atau peraturan yang diluluskan oleh Parlimen diteliti terlebih untuk mengikut kesesuaian dengan bidang kuasa negeri.
Katanya, Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan Pusat meluluskan undang-undang tersebut yang disifatkan selari dengan pendirian negeri sebelum ini.
“Kita telah luluskan undang-undang tersebut (Anti Lompat Parti) semasa di bawah kepemimpinan Almarhum Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).
“Keputusan yang dibuat ketika itu bertujuan menjaga kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya.
Pada 3 April 1992, Mahkamah Agung memerintahkan dalam kes DUN melawan Nordin Salleh bahawa Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Pas, enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berpelembagaan.
Mahkamah itu memutuskan bahawa undang-undang sedemikian melanggar Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan kerana ia menjejaskan hak untuk kebebasan berpersatuan.
Utusan Online pada 28 Julai lalu melaporkan, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.
Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terluas luas. – UTUSAN