Kawal hutang pengguna, bendung muflis - Utusan Malaysia

Kawal hutang pengguna, bendung muflis

Belia yang muflis kebanyakan mereka gelap mata semasa ditawar pinjaman dalam tempoh singkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengetatkan kawal selia kredit pengguna termasuk perkhidmatan berkonsepkan ‘beli sekarang bayar kemudian’ melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA).

Langkah tersebut bagi mengawal jumlah individu muflis yang dijangka boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda jika pertumbuhan ekonomi negara terus perlahan.

Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan unjuran pertumbuhan bertambah baik antara 5.3 hingga 6.3 peratus tahun ini namun Bank Du­nia menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia menyusut kepada 3.2 peratus manakala di Asia menyusut kepada lima peratus.

Bank Dunia turut meramalkan Malaysia akan terkesan dengan kenaikan semula bila­ngan jangkitan Covid-19 sete­rusnya memberi kesan kepada perniagaan, selain hutang korporat dan isi rumah yang tinggi, risiko fiskal semakin meningkat serta proses pemulihan ekonomi yang tidak lancar.

Susulan itu, Suruhanjaya Sekuriti dan BNM dalam kenya­taan bersama berkata, bagi memperkukuhkan perlindu­ngan pengguna kredit negara ini, kerajaan melalui pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) mempelawa maklum balas dan ulasan mengenai kertas perun­dingan cadangan penggubalan CCA.

Menurut kenyataan itu, CCA akan menyediakan rangka kerja yang komprehensif untuk me­ngawal selia amalan entiti yang menjalankan perniagaan menyediakan kredit atau perkhidmatan kredit kepada pengguna dengan tumpuan khas kepada entiti yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa pada masa ini.

Kredit

“Liputan CCA yang dicadangkan termasuk pengawal seliaan bentuk kredit baharu seperti penyedia perkhidmatan ‘beli sekarang bayar kemudian’.

“CCA akan membuka jalan kepada penubuhan CCOB sebagai pihak berkuasa berwibawa bebas yang memantau penyedia kredit pengguna dan penyedia perkhidmatan kredit,” kata kenyataan tersebut, semalam.

Jelas kenyataan itu, perun­dingan awam tersebut adalah bahagian pertama daripada dua bahagian perundingan iaitu memberikan gambaran ke­seluruhan berhubung landskap semasa industri kredit pengguna di Malaysia, cabarannya serta cadangan pembaharuan.

“Ini bagi meningkatkan perlindungan terhadap individu dan perniagaan kecil dalam urusan dengan penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit.

“Pembaharuan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah program beberapa tahun yang dicada­ngkan untuk menyediakan stan­dard perlindungan yang konsisten kepada pengguna kredit dan menyokong pembangunan industri kredit yang teratur di Malaysia,” kata kenyataan.

Kertas perundingan awam tersebut boleh dimuat turun dilaman sesawang CCOB www.ccob.my. Maklum balas tersebut perlu dihantar ke emel [email protected] selewat-lewatnya 5 September ini.

Inflasi

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Pre­siden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, kenaikan inflasi, penyelarasan subsidi dan kenaikan harga barang baru-baru ini juga menyumbang kepada risiko semakin ramai rakyat negara ini akan muflis.

“Apabila ekonomi perlahan, pastinya le­bih ramai akan muflis. Sebelum ini, yang muflis kerana hilang kerja, syarikat tutup. Sekarang, ia disebabkan perubahan subsidi, harga semakin tinggi dan kesan Kadar Dasar Semalam (OPR) yang meningkat.

“Sampai sekarang saya de­ngar rintihan individu muflis. Ada yang bankrap tak tahu nak buat apa, ada yang sampai nak bunuh diri,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan dan BNM sepatutnya mengarahkan semua bank membuka laluan kepada peminjam untuk menga­tur semula bayaran mereka.

“BNM boleh panggil semua bank, duduk berbincang supaya jangan bankrapkan sesiapa buat masa ini, tangani isu ini kes demi kes.

“Bank boleh memberikan masa enam bulan kepada pe­minjam, mana tahu dalam dua tiga bulan peminjam sudah ada pendapatan” katanya.

Kelmarin akhbar ini mela­porkan seramai 17,599 individu diisytiharkan muflis pada 2020 hingga Mei tahun ini.

Pecahan umur

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-­Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengikut pecahan umur, individu berusia 35 hingga 44 tahun paling ramai muflis dengan 6,681 orang.

Majoriti kes muflis kaum Melayu iaitu 10,266 kes, diikuti Cina dengan 4,447 kes, India (1,321 kes), lain-lain (1,516 kes), manakala 48 kes melibatkan bukan warganegara.

Kerajaan pada 2020 meluluskan pindaan Akta Insolvensi 1967 dengan menaikkan nilai ambang kebankrapan dari RM50,000 kepada RM100,000. Pindaan itu antara lain untuk mengelakkan lebih ramai individu muflis.

Laporan nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) pula berada pada kadar 1.7 peratus setakat Jun 2022, berbanding 1.6 peratus bulan sebelumnya. NPL ditakrifkan sebagai pinjaman yang gagal dijelaskan dalam tempoh melebihi 90 hari.

Setakat Jun 2022, jumlah pinjaman hartanah yang diluluskan mencecah RM18.97 bi­lion, peningkatan 45.3 peratus berbanding bulan sama tahun lalu. Jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah pada bulan berkenaan berjumlah RM46.5 bilion.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN