K-KOMM digesa siasat dakwaan bekas wartawan berita Mandarin

K-KOMM digesa siasat dakwaan bekas wartawan berita Mandarin Bernama

WATHSHLAH Naidu (kanan) bersama Sydney Yap Xi Ni (dua kanan) mengadakan perjumpaan bagi menyerahkan memorandum kepada K-KOMM berkaitan isu pekerja diK-KOMM, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pertubuhan pengamal media tempatan menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menjalankan siasatan segera dan mendedahkan butiran berkaitan dakwaan seorang bekas wartawan berita Mandarin Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengenai pemotongan gaji dan elaun serta kelewatan mengambil petugas baharu di Bernama TV.

Bekas wartawan, Sydney Yap Xi Ni yang hadir ditemani wakil daripada Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pejabat Menteri K-KOMM dan diterima Pegawai Khas, A Subash Chandrabose.

Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu berkata, antara empat perkara utama yang dibangkitkan menerusi memorandum itu termasuklah gesaan siasatan serta merta berkait dakwaan Sydney Yap dan maklum balas yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang terbabit.

Menurutnya, K-KOMM digesa meninjau semula dan menambah baik amalan pekerjaan serta pemberian kontrak sedia ada dalam kalangan agensi media, terutamanya agensi media kerajaan yang beroperasi melalui dana awam.

Selain itu katanya, K-KOMM turut digesa mengiktiraf kepentingan peranan media berbilang bahasa dan memastikan pasukan media vernakular dibekalkan dengan sumber dan petugas yang mencukupi bagi memenuhi standard media terbaik selain membaik pulih dan mewujudkan Majlis Media Malaysia.

“Negara harus menyanjung kebebasan media dan membina suasana kerja yang selamat agar pihak media dapat beroperasi dengan bebas tanpa rasa takut kepada ketidakjaminan pekerjaan sewaktu menjalankan tugasan. 

“Perkara ini memerlukan komitmen kerajaan untuk memainkan peranan aktif sebagai penguat kuasa dan menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi dan kekerasan terhadap media,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi K-KOMM di sini hari ini.

Sementara itu, Sydney Yap yang tidak lagi berkhidmat di Bernama berharap, para petugas lain dapat menerima keadilan sewajarnya susulan penyerahan memorandum berkenaan.

Dalam masa sama, bekas wartawan itu turut mendakwa, dia beberapa kali cuba untuk mengaturkan pertemuan bersama Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, namun ia tidak berhasil.

“Sebenarnya saya sudah letak jawatan dengan agensi berkenaan, sekiranya apa yang dilakukan ini berhasil atau gaji akan dinaikkan, ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada saya.

“Namun saya berharap supaya generasi akan datang yang memasuki bidang ini tidak lagi mengalami masalah sama. Mereka tidak perlu tinggalkan industri ini kerana terima gaji yang tidak setimpal,” ujarnya.

Awal Ogos lalu, Sydney Yap menerusi laman Facebooknya mendakwa Bernama TV telah memotong gaji dan elaun serta lewat dalam pengambilan petugas baharu bagi menggantikan mereka yang berhenti kerana melanjutkan pelajaran dan mendapat tawaran di stesen televisyen lain.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin berkata, semua dakwaan petugas berstatus kontrak itu adalah tidak berasas dan menjelaskan bahawa berita Mandarin Bernama TV sebelum ini diterbitkan oleh sebuah syarikat swasta dengan Sydney Yap adalah seorang petugasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN