JKDM patahkan sindiket seludup arak, RM1.24 juta nilai rampasan

JKDM patahkan sindiket seludup arak, RM1.24 juta nilai rampasan

FAZILAH Ariff (dua dari kanan) melihat rampasan minuman keras pada sidang akhbar aktiviti sindiket penyeludupan minuman keras di pejabat Kastam Dengkil, Sepang, Selangor. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja  Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan aktiviti sindiket penyeludupan minuman keras (arak) bertanda duti tidak berbayar (MDNP) dan tidak bercukai membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,249,788.73.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Menanggung Tugas-Tugas (MTT) , Fazilah Ariff berkata, ia hasil serbuan pihaknya pada 2 Ogos lalu di sebuah premis tidak bertanda di Jalan Tengah, Kampung Telok  Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut beliau, pasukan menemukan sejumlah beer pelbagai jenama dimuatkan dalam sebuah lori bonded trailer 40 kaki, dua lori 3 tan, sebuah lori 1 tan dan sebuah van.

Jelasnya, hampir 66 ,000 tin atau botol iaitu lebih 28,000 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM181,595.07 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM683,193.66.

“Bagi anggaran nilai kenderaan yang disita pula adalah sebanyak RM 385,000. Nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM1,249,788.73,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil di sini, hari ini.

Fazilah berkata, modus operandi sindiket itu ialah memasarkan produk minuman keras bertanda MDNP ke pasaran tempatan sedangkan ia tidak boleh berada di Kawasan Utama Kastam dan hanya untuk dijual di kedai bebas cukai atau di pulau-pulau bebas cukai.

Beliau memberitahu, sebahagian lagi adalah minuman keras import yang disyaki diseludup dari  luar negara untuk pasaran tempatan.

Ketika serbuan dilakukan terdapat beberapa orang pekerja dilihat sedang dalam proses memindahkan minuman keras masuk ke dalam lori-lori kecil dan juga van yang dipercayai bagi tujuan pengedaran untuk pasaran tempatan.

Menurut Fazilah, bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan sewaktu serbuan kerana kesemua pekerja-pekerja tersebut telah melarikan diri sebaik melihat kehadiran pasukan kastam.

Beliau menegaskan, JKDM akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan pemilik premis dan kenderaan yang disita dalam usaha mengenalpasti pasti dalang di sebalik sindiket tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya