Indeks kes jenayah Sabah meningkat 22 peratus

Indeks kes jenayah Sabah meningkat 22 peratus

IDRIS Abdullah (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah sebuah pasukan yang menang pertandingan boling di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kadar indeks jenayah yang dicatatkan di Sabah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 22.06 peratus atau 439 kes.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, sebanyak 2,429 kes jenayah direkodkan di Sabah berbanding 1,990 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, jenayah harta benda mencatatkan sebanyak 2,153 kes iaitu meningkat 423 kes dan jenayah kekerasan pula meningkat sebanyak 16 kes.

“Berdasarkan statistik tersebut, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menduduki tempat keempat tertinggi bagi kadar indeks jenayah di seluruh negara.

“Namun, dari segi penyelesaian kes pula, kedudukan Sabah agak baik kerana berada di tempat keempat daripada keseluruhan 14 kontinjen. Kita berjaya menyelesaikan 72.3 peratus kes jenayah yang dilaporkan,” katanya selepas program santai sepetang PDRM Sabah bersama media semalam.

Idris berkata, jika mengambil kira indeks jenayah sebelum pandemik Covid-19 iaitu perbandingan bagi tempoh Januari hingga Julai 2019 dan 2022, ia menunjukkan penurunan sebanyak 911 kes atau 27.28 peratus.

Menurut beliau, PDRM Sabah akan terus berusaha dan memberi komitmen yang tinggi untuk menurunkan kadar jenayah agar masyarakat di negeri ini sentiasa rasa selamat.

“Usaha itu bagaimanapun tidak akan tercapai tanpa kerjasama padu daripada masyarakat setempat.

“Justeru, PDRM Sabah mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan apa juga maklumat dan aktiviti yang meragukan dalam menjaga keamanan di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, PDRM Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan media bagi membolehkan maklumat yang tepat disebarkan kepada masyarakat.

Idris berkata, media berperanan sebagai ‘lidah’ untuk menyampaikan maklumat yang sahih kepada masyarakat

“PDRM menganggap media sebagai rakan strategik jangka masa panjang yang akan membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Saya berharap program sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak bertukar-tukar idea agar pendekatan yang lebih berkesan dapat diambil dalam berhadapan cabaran masa kini, terutama persepsi masyarakat terhadap PDRM,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya