Penduduk resah, jalan runtuh akibat hakisan belum dibaiki

Penduduk resah, jalan runtuh akibat hakisan belum dibaiki

KEADAAN jalan ke Perumahan Kilang Felda Panching Utara di Kuantan, Pahang yang runtuh akibat mendapan tebing sehingga membahayakan pengguna sejak tiga bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keadaan jalan utama ke Perumahan Kilang Felda Pancing Utara di sini, yang semakin mendap dan terhakis sejak tiga bulan lalu mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk apabila tiada sebarang usaha pembaikan dilakukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketiadaan maklumat jelas tentang pihak berkuasa yang bertanggungjawab menambah kekeliruan, sekali gus membuatkan penduduk berasa seolah-olah keselamatan mereka dipandang ringan meskipun laluan itu digunakan setiap hari oleh ratusan orang termasuk kenderaan berat.

Difahamkan, kira-kira 315 penduduk daripada 36 keluarga yang menetap di kawasan berkenaan menggunakan laluan itu setiap hari selain digunakan kenderaan berat.

Seorang penduduk, Siti Aminah Arifin, 57, berkata, masalah hakisan tebing jalan itu dikesan sejak dua tahun lalu sebelum berlaku runtuhan pada April lalu.

“Aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib namun sehingga kini belum ada sebarang tindakan untuk membaik pulih. Hanya papan tanda amaran dan kon yang diletakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Seorang lagi penduduk, Jasnishah Jaafar, 50, berkata, ketia­daan lampu jalan menambah risiko keselamatan bagi pengguna.

“Sedikit demi sedikit hakisan merebak terutama selepas hujan lebat , tambahan jalan ini juga digunakan kenderaan berat. Jika tidak dibaik pulih segera mungkin jalan ini akan terputus terus,” katanya.

Sharifah Fadilatul Natrah Syed Hassan, 35, pula berharap masalah itu dapat diatasi segera sebelum berlaku kemalangan jiwa.

“Runtuhan itu berdekatan dengan selekoh, bahaya bagi kenderaan terutama orang luar yang tidak tahu serta kanak-kanak. Sebelum berlaku perkara tidak diingini, sepatutnya kerosakan ini dibaiki segera,” tambahnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN