Fasa kritikal skuad B-23

Fasa kritikal skuad B-23

Skuad Bawah 23 negara bakal bertemu Thailand dalam aksi separuh akhir di stadium Rajamangala, Bangkok pada Isnin ini– IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 (B-23) negara kini dalam fasa ‘kritikal’ untuk membentuk skuad terbaik menjelang aksi Piala ASEAN 2025 di Jakarta, Indonesia yang bermula pada 15 Julai ini.

Pengendali skuad B-23 negara, Nafuzi Zain berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para pemain yang kini bekerja keras memikat hati barisan kejurulatihan.

Katanya, setiap taktikal dan juga arahan jurulatih dipraktikkan dengan baik oleh para pemain, sekali gus memberikan persaingan engit untuk merebut tempat ke kejohanan berkenaan.

“Daripada segi prestasi, apa saya nampak ada peningkatan dari semasa ke semasa dan bagi saya itu adalah petanda positif sebelum kita menyertai Piala ASEAN B-23 yang bermula pada 15 Julai.

“Biarpun menang dalam dua perlawanan persahabatan (menentang PDRM FC dan Melaka FC), masih banyak yang kita kena baiki bagi memastikan pasukan ada persefahaman dan mampu bermain baik.

“Kita sudah berlatih lebih kurang tujuh hari dan saya mahu pemain faham apa yang saya mahukan. Cabaran sebenar nanti adalah lebih sukar tetapi daripada segi tempo permainan sekarang kita tahu pemain belum berada pada tahap sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, skuad muda negara berjaya memastikan kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC dan pada persahabatan kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin, anak buah Nafuzi membenam pendatang baharu Liga Super, Melaka FC 4-1.

Dalam masa sama, bekas jurulatih Terengganu dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam kancah Liga Super itu tidak menafikan dirinya berada dalam tekanan, namun menganggap semua itu adalah lumrah bagi penggiat bola sepak.

“Tertekan adalah normal bagi jurulatih kerana kami ada tanggungjawab besar. Ini pengalaman baharu buat saya terutamanya untuk membawa pasukan negara dli mana saya perlu sediakan pasukan dalam tempoh singkat berbanding ketika di kelab,” katanya.

Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan A menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei pada 18 Julai sebelum menutup aksi kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia tiga hari kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN