Malaysia mungkin capai tarif 15% dalam rundingan perdagangan

Malaysia mungkin capai tarif 15% dalam rundingan perdagangan AS – MIDF

KONTENA penghantaran disusun tinggi di Pelabuhan Long Beach di California,AS.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berkemungkinan akan mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai perjanjian perdagangan dengan pengurangan tarif sehingga 15 peratus, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bank pelaburan berkata, ini berdasarkan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas pertemuannya dengan Wakil Perdagangan AS bulan lepas.

“Bagaimanapun, masih belum pasti tahap tarif yang akan dipersetujui. Berdasarkan perjanjian perdagangan terbaharu Vietnam dengan AS, kami menjangkakan bahawa ia akan lebih rendah daripada tarif yang ditetapkan untuk 1 Ogos 2025.

“Kami percaya Malaysia boleh mencapai paras 15 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.

MIDF berkata, Vietnam menyaksikan pengurangan ketara kepada 20 peratus daripada tarif timbal balik awal sebanyak 46 peratus yang dikenakan AS ke atas Vietnam pada April, memberi kesan ketara kepada pengeksport Vietnam.

Walau bagaimanapun, bank pelaburan berkata, tarif 40 peratus akan dikenakan untuk ‘menghantar’ barangan dari negara lain, terutamanya China yang cuba memintas tarif AS dengan melalui Vietnam.

Katanya, ini menangani kebimbangan AS yang lama mengenai pemintasan.

Bank pelaburan berkata, aktiviti eksport semula Malaysia menyaksikan lonyakkan yang kini merangkumi 19 hingga 22 peratus daripada jumlah eksport, terutamanya dalam barang elektrik dan elektronik (E&E).

“Jika Malaysia memperoleh kadar tarif pemindahan di bawah 20 peratus yang pada masa ini terpakai kepada keseluruhan barangan dari Vietnam (dan pastinya di bawah kadar 40 peratus yang dikenakan ke atas aktiviti ‘penghantaran’ tertentu seperti yang dilihat dengan Vietnam), ia boleh meningkatkan kelebihan daya saingnya dengan ketara.

“Kadar yang begitu menggalakkan akan menjadikan Malaysia sebagai pengantara yang lebih menarik untuk aliran perdagangan antarabangsa yang ditujukan untuk AS, terutamanya jika dibandingkan dengan persekitaran tarif semasa Vietnam,” ujarnya.

Tambahnya, ini berpotensi membawa kepada peningkatan ketara dalam jumlah eksport semula Malaysia, seterusnya mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan global.

“Tambahan pula, aktiviti perdagangan yang dipertingkatkan ini secara langsung akan memanfaatkan sektor domestik yang berkaitan, termasuk perkhidmatan logistik, pergudangan, dan kemudahan perdagangan, memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang baharu dalam negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN