Ibu tunggal cekal jaga ibu sakit kronik, anak dan adik OKU

Ibu tunggal cekal jaga ibu sakit kronik, anak dan adik OKU

UMI Kalsum Ree menguruskan keperluan Norjan Ahmad yang menghidap Cerebral Plasy (CP) ketika ditemui di rumahnya di perkampungan nelayan Kuala Juru, Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang ibu tunggal dari perkampungan nelayan Kuala Juru, dekat sini cekal menjalani kehidupan dengan menguruskan ibunya yang menghidap pelbagai penyakit kronik serta anak dan adiknya masing-masing orang kurang upaya (OKU) terlantar.

Umi Kalsum Ree, 60, berkata, kehidupannya bertambah sukar kerana tidak mempunyai pekerjaan berikutan terpaksa menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibunya Romlah Saad, 83, serta anak perempuan Norjan Ahmad, 37, dan adik bongsu Ainul Nadiah Ree, 38, masing-masing menghidap Cerebral Palsy (CP).

Katanya, kehidupan mereka sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi kerana hanya bergantung bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masing-masing sebanyak RM500 sebulan.

Bagaimanapun kata ibu kepada empat anak itu, bantuan ZPP dan JKM tersebut tidak mencukupi ekoran anak OKUnya bergantung hidup hanya dengan minum susu khas yang berharga hampir RM100 setin selain menggunakan lampin pakai buang sepanjang masa.

“Norjan tidak dapat makan disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi dan hanya mampu minum susu, itupun melalui tiub. Malah, boleh dianggarkan dalam sebulan (penggunaan) susu sahaja sudah 15 tin.

“Pernah suatu ketika disebabkan susu sudah habis dan duit juga tiada memaksa saya menggunakan air rebusan nasi yang ditanak bagi menggantikan susu buat Norjan. Namun, Norjan menghadapi masalah cirit birit selepas meminum air rebusan itu.

“Ibu mana yang tidak sedih melihat keadaan anaknya begitu. Mujurlah adik saya, Ainul Nadiah tidak bergantung kepada susu dan boleh makan seperti biasa biarpun hanya nasi bubur,” katanya yang kematian suami akibat penyakit buah pinggang sejak 13 tahun lalu.

Menurut Umi Kalsum, dalam kepayahan menjaga ketiga-tiga insan tersayang itu, dia tetap bersyukur kerana ada jiran tetangga selain anak-anak serta adik beradik terdekat yang prihatin membantu meringankan beban ditanggung.

“Saya bersyukur seadanya dan berharap Allah SWT memberi saya kesihatan yang baik kerana selagi kudrat empat kerat ini ada, saya tetap menjaga mereka sampai akhir hayat.

“Cumanya saya berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan dari segi bekalan susu serta lampin pakai buang buat Norjan dan Ainul Nadiah kerana kedua-duanya adalah OKU terlantar dan tidak mampu menguruskan diri seperti kebanyakan orang normal lain,” katanya.

Dalam pada itu, dia menambah, keadaan kesihatan ibunya juga semakin merosot ekoran menghidap penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain penyakit.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Umi Kalsum 1570-9124-6849 atau hubunginya di talian 011-2419 2748. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya