Ibu bapa desak segera selesaikan masalah bangunan baharu SMA Chuah  - Utusan Malaysia

Ibu bapa desak segera selesaikan masalah bangunan baharu SMA Chuah 

IBU bapa dan penduduk kampung berhimpun secara aman di hadapan bangunan baharu SMA Chuah di Chuah, Port Dickson hari ini bagi mendesak supaya pihak berwajib menyelesaikan masalah yang menghalang daripada bangunan baharu sekolah terbabit dapat digunakan oleh guru dan pelajar.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sekumpulan ibu bapa, penduduk kampung dan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Chuah di sini mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan  segera menyelesaikan masalah bangunan baharu yang belum boleh digunakan walaupun sudah dua tahun siap dibina.

Wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas pelajar sekolah itu, Rahim Yaacob, 54, berkata, pihak berwajib tidak wajar membiarkan guru dan pelajar terus berdepan kesulitan untuk proses pengajaran dan pembelajaran di bangunan daif dan usang.

“Di manakah kelemahan sehinggakan hampir dua tahun bangunan tersebut masih tidak dapat diduduki. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersama menyuarakan kehendak dan hasrat hati agar pemindahan ke sekolah baharu dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di hadapan bangunan baharu sekolah tersebut hari ini.

Utusan Malaysia pada 10 Ogos lalu  melaporkan desakan ibu bapa agar pihak berwajib menyegerakan proses pemindahan pelajar dan guru-guru ke bangunan baharu sekolah itu.

Rahim berkata, sehingga kini pelajar dan guru menjalankan sesi pembelajaran  dengan menumpang di kawasan Masjid Kampung Chuah dan berkongsi segala kemudahan yang ada di masjid.

“Pelajar juga terpaksa menumpang sekolah lain bagi menjalankan aktiviti sukan dan kokurikulum termasuk penggunaan makmal bagi pembelajaran subjek sains. Apabila ada latihan kawad badan beruniform, mereka terpaksa menjalani latihan di hadapan bangunan-bangunan kedai.

“Kini kami hanya minta hak untuk mendapatkan keselesaan dan keselamatan dalam pembelajaran anak-anak kami. Kami juga mendesak pihak berwajib mengatasi apa sahaja permasalahan yang timbul pada bangunan baharu SMA Chuah ini,” katanya lagi.

Ditubuhkan

SMA Chuah yang asalnya dikenali Sekolah Ugama Menengah Rendah Chuah ditubuhkan pada tahun 1959 di dalam kawasan Masjid Kampung Chuah.

Pada tahun 1977, bangunan baharu  dibina dan 20 tahun kemudian bangunan sambungan didirikan dan berikutan penambahan bilangan pelajar sehingga kini, empat buah kabin telah digunakan bagi dijadikan sebagai bilik darjah.

Menurut beliau lagi, SMA Chuah kemudian didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan pada tahun 2018 majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu sekolah  dimulakan.

Baru-baru ini, semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan Dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek menjelaskan, bangunan baharu sekolah terbabit masih tidak boleh digunakan kerana Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) bangunan berkenaan belum dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

Menurut Mohamad Rafie, bangunan itu masih lagi di bawah Kementerian Pendidikan dan pihaknya dimaklumkan pihak kontraktor pembinaan memohon lanjutan tempoh masa (EOT) daripada pihak Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya