Hakim perlu bebas pengaruh, tekanan - Sultan Nazrin

Hakim perlu bebas pengaruh, tekanan – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hakim perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan dan menghindari sebarang bentuk keraguan apabila membuat keputusan kes yang dibicarakan.

Bertitah dalam Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak al-Qanun Volume 1 2022 di sini hari ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menekankan betapa penghakiman yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa.  

Titah baginda, dalam sistem keadilan, hakim menjadi watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman.  

Baginda bertitah, dalam hal ini, penulisan alasan penghakiman menjadi medium penilaian untuk menentukan tahap kompetensi dan kecekapan hakim-hakim. 

Titah baginda, alasan penghakiman yang berkualiti dapat menzahirkan kemahiran hakim-hakim dalam menilai sesuatu isu, dengan mengaplikasikan prinsip-prinsip undang-undang dan hukum syarak yang tepat sehingga keadilan dapat diberikan kepada yang berhak.  

“Melalui penulisan alasan penghakiman, para hakim akan memberikan alasan dan asas serta sandaran kepada setiap keputusan yang telah dibuat terhadap sesuatu kes yang dibawa di hadapannya.  

“Alasan penghakiman juga menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya.  

“Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah, sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya.

“Penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada para pengamal undang-undang. 

“Sandaran dan justifikasi yang kukuh terhadap sesuatu isu dan penilaian serta penggunaan hukum dan prinsip undang-undang yang tepat akan menjamin kredibiliti hakim dan mengangkat sistem keadilan itu sendiri,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan mereka, begitu juga kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan.  

Titah baginda, kompetensi perlu sentiasa ditambah baik selaras dengan cabaran semasa dan kompleksiti kes-kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah pada masa kini.  

Lantaran itu, titah baginda, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri membantu menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kompetensi yang menitikberatkan aspek penguasaan ilmu dan pemantapan sahsiah.   

“Kemudahan pembangunan latihan dan penyelidikan perlu dipertingkatkan, begitu juga prasarana yang selari dengan perkembangan teknologi terkini  perlu diperuntukkan.   

“Usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis.  Menerbitkan al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji,   semoga al-Qanun dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang.  

“Demi kepentingan keadilan, beta selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN