GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk di Kampung Pulau Setelu di sini dibelenggu ketakutan apabila seekor gajah liar jantan yang kelaparan menceroboh masuk kampung untuk mencari makanan di kebun mereka sejak empat hari lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, beberapa penduduk mendakwa melihat gajah berkenaan melalui jalan kampung sebelum menemukan banyak kesan tapak kaki gajah yang masuk ke kebun.
Seorang penduduk, Salamah Hamad, 55, berkata, ancaman gajah liar yang memasuki kampung itu kali pertama berlaku di kampungnya sejak lebih 50 tahun lalu.
Katanya, hampir 100 pokok pisang dan kelapa sawit yang ditanam di kebun berdekatan rumah penduduk telah dirosakkan gajah itu untuk mencari makanan.

“Kejadian itu disedari keesokan paginya apabila anak jiran saya mengatakan terdapat gajah di luar rumahnya ketika penduduk sedang nyenyak tidur.
“Gajah itu mungkin masuk ke kampung ini untuk cari makanan. Kami rasa itu merupakan gajah sama yang masuk kebun penduduk Kampung Kuala Tol enam hari lalu,” katanya kepada pemberita di Kampung Pulau Setelu di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mulim Ahmad, 56, berkata, terdapat kira-kira 32 pekebun mengusahakan tanaman seperti getah, kelapa sawit, pisang dan buah-buahan lain.
Katanya, terdapat penduduk yang takut untuk masuk kebun kerana bimbang terserempak dengan gajah berkenaan.
“Sejak kami tinggal di sini, hanya babi hutan yang membuat kacau dan gajah tidak pernah mengganggu tanaman.
“Saya juga terkejut selepas melihat lebih 30 pokok sawit yang baharu ditanam enam bulan lalu turut dirosakkan gajah itu,” katanya.
Mulim berkata, susulan itu penduduk telah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap gajah yang masih bebas berkeliaran itu dapat ditangkap dan dipindahkan ke habitat yang sesuai. – UTUSAN