Final Piala FA: Terengganu cuti peristiwa  11 September

Final Piala FA: Terengganu cuti peristiwa  11 September

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada 11 September ini sempena perlawanan akhir Piala FA menemukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sehari sebelumnya..

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemudahan cuti itu diberi bagi memastikan hampir 40,000 rakyat Terengganu tidak tergesa-gesa pulang selepas perlawanan tersebut.

Menurut beliau, ia juga bagi melancarkan pergerakan dan keselesaan perjalanan penyokong setia Sang Penyu selain mengelak mereka terlibat dengan sebarang insiden tidak sepatutnya.

“Kerajaan negeri berharap puluhan ribu penyokong yang akan menyaksikan perlawanan itu mengutamakan keselamatan diri serta menunjukkan akhlak dan adab yang baik.

“Bagi memastikan penyokong TFC tidak terburu-buru di atas jalan raya, kerajaan negeri bersetuju mengisytiharkan 11 September iaitu Ahad sebagai cuti peristiwa bagi negeri ini.

“Susun atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa kerana ruang masa yang ada masih panjang,” katanya dalami satu kenyataan di sini, hari ini.

 Ahmad Samsuri turut menitipkan semangat buat TFC agar memberikan fokus dan aksi terbaik sekali gus menunaikan harapan untuk membawa pulang Piala FA ke negeri itu.

TFC mengesahkan slot ke final Piala FA buat kali pertama sejak 2011 selepas mengatasi Selangor 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti di separuh akhir, 6 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN