KANGAR: Dalam mengimbau nostalgia Hari Raya Aidilfitri, Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di sini memberi pendedahan kepada murid-murid untuk membuat kad raya.
Seramai 230 murid menghasilkan sendiri kad raya mengikut kreativiti masing-masing.
Guru penyelaras program, Hamisah Hashim, 42, berkata, ia bagi memberi peluang kepada generasi muda bernostalgia dengan tradisi mengirim kad raya yang semakin dilupakan.
“Menerusi aktiviti ini, murid-murid diberi masa selama satu jam bagi menghasilkan kad raya secara individu atau berkumpulan menggunakan bahan-bahan mengikut kreativiti masing-masing. Mereka dilihat teruja dan bersungguh dalam menghasilkan kad raya tersebut.
“Selain murid Melayu, ada juga murid India dan lain-lain bangsa turut sama, sekali gus dapat memupuk nilai perpaduan dalam kalangan mereka,” katanya.
Murid tahun lima, N. Sentamil, 11, berkata, dia teruja membuat kad raya bersama rakan-rakan, walaupun pernah menghasilkannya sebelum ini.
“Kami menggunakan bahan-bahan yang ada bagi menghias kad dan menulis ucapan sempena ketibaan hari raya,” katanya.
Murid tahun enam, Noor Akid Danish Noor Alhafiz, 12, berkata, dia membuat kad raya menggunakan tema alam sekitar.
“Saya turut memasukan elemen ucapan dan lirik lagu raya bagi mencantikkan kad. Kad ini saya boleh berikan kepada saudara mara dan kawan-kawan,” katanya. – UTUSAN










