PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, ‘Final Award’ dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu tidak menyentuh isu pengambilan wilayah negeri Sabah atau kedaulatan negeri itu oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.
Beliau berkata, ia antara perkara yang dinyatakan Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu Terhadap Kerajaan Malaysia pada mesyuarat pertamanya, 3 Ogos lalu.
Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu Terhadap Kerajaan Malaysia telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 3 Ogos 2022 di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pasukan khas itu turut mengambil maklum bahawa pelantikan Dr. Stampa sebagai penimbang tara dan juga kesemua tindakan bersifat prosedur yang dibuat olehnya telah dibatalkan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021.
“Berdasarkan keputusan bertarikh 29 Jun 2021 tersebut, Mahkamah Tinggi Madrid telah mengeluarkan keputusan bahawa ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020 oleh Dr. Stampa adalah tidak sah dan terbatal.
“Kerajaan juga telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan Exequatur Order dan seterusnya permohonan bagi menggantung penguatkuasaannya. Permohonan kerajaan bagi menggantung penguatkuasaan Exequatur Order tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Perancis pada 16 Disember 2021.
“Seterusnya, kerajaan telah membuat permohonan membatalkan Final Award yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa pada 28 Februari 2022 dan juga permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award tersebut di Mahkamah Perancis. Mahkamah tersebut telah membenarkan permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award tersebut pada 12 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, mesyuarat tersebut dipengerusikan Wan Junaidi dan dihadiri semua ahli Pasukan Khas yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 22 Julai lalu.
Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan tindakan undang undang yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia di Sepanyol dan Perancis bagi menangani tuntutan tersebut dan isu pembayaran wang serahan yang berjumlah AS$5,300 setahun.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi menegaskan, tindakan yang sedang dilaksanakan kerajaan termasuk penubuhan Pasukan Khas berkenaan adalah komitmen kerajaan untuk memastikan strategi yang terbaik dilaksanakan bagi menangani isu tuntutan pihak mendakwa waris kumpulan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.
“Secara umumnya, kerajaan akan memastikan kemenangan demi kepentingan negara dan kedaulatan negara tetap terpelihara.
“Kerajaan juga yakin bahawa semua tindakan dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu ini akan membuahkan hasil yang positif dengan sokongan semua pihak khususnya rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










