MELAKA: Enam penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila empat buah rumah berhampiran Pangsapuri Bukit Piatu di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Kejadian pukul 10.30 malam itu membabitkan rumah berkembar separa kayu berusia 50 tahun, namun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan parah.
Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun sempat menyelamatkan diri sebelum pihaknya tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, tindakan pantas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Melaka Tengah berjaya menyelamatkan dua rumah berdekatan daripada turut musnah dalam kebakaran tersebut.
Beliau berkata, JBPM Melaka menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.34 malam.
“Dengan kekuatan 34 anggota dan pegawai dan tiga jentera iaitu dua dari Melaka Tengah dan sebuah dari Ayer Keroh serta jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sampai di lokasi, terdapat kebakaran lebih daripada sebuah rumah yang berlaku sangat pantas. Sewaktu menerima panggilan kecemasan, pemanggil memaklumkan hanya sebuah rumah terbakar.
“Kebakaran telah merebak dengan cepat sehingga ke rumah keempat, namun bomba dapat mengawal kebakaran dengan cepat daripada melibatkan dua buah rumah berhampiran,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Zulkhairani menambah, walaupun berjaya memadam kebakaran dalam tempoh 11 minit, namun pihaknya tetap berdepan kesukaran kerana rumah dengan struktur separa kayu itu memudahkan api merebak dengan cepat.
Sementara itu, seorang penghuni, Cheah Wei Liang, 43, berkata, dia sempat menyelamatkan ibunya berusia 60 tahun dan kakaknya yang sewaktu kejadian berada di rumah tersebut.
“Sejurus saya membawa ibu dan kakak keluar, saya cuba untuk menyelamatkan beberapa barangan namun gagal disebabkan api marak dengan cepat, cuma saya mengalami melecur sedikit di bahu,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik.
Seorang lagi penghuni, Gan Kim Lai, 60, berkata, sewaktu kebakaran berlaku dia berada di sebuah restoran tidak jauh dari rumah yang disewanya sejak dua tahun lalu.
“Saya keluar ke sebuah restoran apabila elektrik di rumah terputus, namun sewaktu sedang minum saya diberitahu jiran rumah saya hangus terbakar.
“Sewaktu tiba di hadapan rumah, saya terkejut melihat api marak dengan cepat hingga tidak dapat menyelamatkan satu pun barang saya,” katanya. – UTUSAN