Dua pemilik syarikat didenda guna dokumen palsu

Dua pemilik syarikat didenda RM100,000 dan RM50,000 guna dokumen palsu

MOHD. Rumzan Othman mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua pemilik syarikat didenda RM100,000 dan RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini, setelah masing-masing mengaku bersalah kerana menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan, tiga tahun lalu.

Tertuduh pertama, Mohd. Rumzan Othman, 68, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dihadapinya sebaik pertuduhan dibacakan di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan curang mengemukakan suatu dokumen iaitu penyata akaun syarikat MRR Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018, kepada syarikat pembersihan berkenaan untuk mendapatkan tender tersebut.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu, dengan kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 16 Januari hingga 22 Januari 2019, di Pejabat E-Idaman Sdn. Bhd. di Bandar Baru Stargate, di sini.

Dalam pertuduhan kedua dihadapinya, Mohd. Rumzan didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun bank Hanna Niaga Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018, untuk memohon satu lagi tender daripada syarikat sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Januari 2019 di lokasi sama, dengan Hakim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi, serta penjara selama enam bulan jika gagal melunaskan denda tersebut.

Sementara itu seorang lagi tertuduh, Anuar Abdul Aziz, 39, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya kerana mengemukakan penyata akaun palsu Syarikat LJ Maju Sdn. Bhd. bagi bulan Oktober hingga Disember 2018, untuk mendapatkan tender penswastaan pengurusan kutipan sisa pepejal serta pembersihan awam daripada syarikat sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Januari 2019 di pejabat sama dengan Anuar kemudiannya didenda sebanyak RM50,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Ketika diberi peluang membuat rayuan, Rumzan memohon agar dia dijatuhkan hukuman ringan kerana mendakwa dirinya tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan bantuan dari anak-anak. 

Anuar pula mendakwa dia ketika ini masih perlu menanggung empat anak yang masih kecil selain seorang adik berstatus orang kurang upaya (OKU). 

Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua tertuduh difahamkan membayar denda ditetapkan itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.