PETALING JAYA: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung satu video tular didakwa perselisihan faham di tapak pasar pagi Taman OUG dekat sini.
Dalam video berdurasi satu minit 24 saat itu menunjukkan memaparkan perbuatan individu meletakkan beberapa bakul plastik berisi sayur-sayuran di atas bonet dan bumbung kereta serta mencampakkan besi payung khemah di bahagian hadapan kereta Perodua Bezza menyebabkan cermin hadapan retak dan bercalar.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian kira-kira 5.13 pagi itu dipercayai perselisihan faham antara dua peniaga di tapak pasar berkenaan.
Katanya, punca kejadian disebabkan perebutan tapak berniaga di lokasi tersebut oleh kedua dua pihak.
“Semasa kejadian anggota dari Balai Polis Petaling ke lokasi dan dapati selisih faham telah selesai.
“Susulan itu, laporan polis dan tangkapan telah dibuat terhadap seorang lelaki dan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat khianat dan ugutan jenayah.
“Pihak Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.
“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan. – UTUSAN