Dipenjara 230 tahun kerana tipu pakej umrah

Dipenjara 230 tahun kerana tipu pakej umrah

MISBAHALMUNIR Omar (tengah) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara berjumlah 230 tahun di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, di sini, hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat dipenjara 230 tahun selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah dan ziarah ke Mesir antara 2015 hingga 2016.

Majistret Arif Mohamad Shariff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh, Misbahalmunir Omar, 56.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan membenarkan semua hukuman dijalankan serentak bermula tarikh sabitan yang bermaksud tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Tertuduh turut dikecualikan hukuman sebatan kerana telah berusia melebihi 50 tahun dan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguh hukuman itu kerana ingin membuat rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

Oleh itu, majistret menetapkan jaminan RM80,000 yang dikenakan ke atas tertuduh sebelum ini dinaikkan kepada RM88,000 dengan seorang penjamin, selain pasport antarabangsa dipegang oleh mahkamah sehingga selesai rayuan.

Mengikut fakta kes, Misbahalmunir yang ketika melakukan kesalahan itu merupakan pengarah urusan syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn. Bhd. telah berurusan dengan seorang individu untuk mengadakan rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

Individu itu, Amzari Halim yang juga pengadu dalam kes terbabit merupakan perunding dan mutawwif umrah yang telah diminta oleh tertuduh untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan tertuduh bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

Bagaimanapun tertuduh tidak memaklumkan kepada pengadu bahawa syarikatnya telah gulung tikar sejak 14 Januari 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar dan meminta pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank milik tertuduh, isterinya dan pekerja-pekerja syarikat tersebut.

Kesemua 56 transaksi yang dilakukan dalam tempoh 23 hari antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016 dengan jumlah RM434,250 membabitkan seramai 202 peserta bagi rombongan umrah dan ziarah itu.

Tertuduh telah menghantar itenari tiket kesemua peserta kepada pengadu di mana penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016, namun didapati dokumen yang dibekalkan tertuduh tidak sah dan tidak wujud.

Tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 26 Jun 2018 dan dikenakan 23 pertuduhan memperdayakan Amzari untuk memasukkan wang yang dikutip daripada 202 peserta berjumlah antara RM2,000 hingga RM36,600.

Kesemua kesalahan dilakukan di beberapa lokasi di Kedah, Johor, dan Selangor antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya