Dewan Selangor lulus Rancangan Selangor Pertama

Dewan Selangor lulus Rancangan Selangor Pertama

AMIRUDIN Shari berucap dalam penggulungan RS1 yang diluluskan kemudian secara kutipan suara pada hari terakhir Sidang DUN di Bangunan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara kutipan suara meluluskan usul Rancangan Selangor Pertama (RS1) 2021-2021 bernilai RM212.44 bilion selepas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menggulung perbahasannya hari ini.

Usul tersebut dibentangkan beliau pada 27 Julai lalu yang menggariskan pelan pembangunan di Selangor merangkumi Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

Selain itu, usul tersebut memberi tumpuan kepada sembilan sektor berdasarkan sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk memacu ekonomi negeri ini.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan pembangkang termasuk menubuhkan jawatan kuasa khas baharu atau melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) memantau pelaksanaan RS1.

“Kita percaya kepada pemisahan kuasa, kita akan pisahkan  kuasa antara eksekutif dan legislatif dan dari situlah dapat dipraktikkan langkah terbaik serta rujuk apakah pelaksanaan projek.

“Kalau tak cukup, gunakan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang) Negeri atau Selcat untuk semak perkembangan RS1 dan ADUN mempunyai kebebasan dan kuasa penuh berbanding duduk di dalam eksekutif yang sedikit sebanyak bertentangan dengan semangat pemisahan kuasa,” katanya mengakhiri penggulungan RS1.

Seramai 28 orang ADUN termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail terlibat dalam perbahasan tersebut yang bermula pada Khamis sebelum penggulungannya sejak semalam.

Bagaimanapun, ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi memaklumkan, penglibatan ADUN dalam sesi libat urus yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ini berhubung usul dasar tersebut mengecewakan dan dibimbangi menyebabkan pertikaian berterusan.

“Saya minta pandangan supaya persediaan RS1, keterlibatan ADUN menjadi faktor sangat penting sebab saya pernah terlibat dengan perancangan kerajaan negeri, cuma saya melihat perancangan dibuat kerajaan dan sesi libat urus melibatkan ADUN, responnya tidak beberapa cantik.

“Dalam libat urus yang lalu sebagai contoh, kehadiran ADUN sangat bagi saya sangat mengecewakan. Sebab penglibatan itu saya melihat, akhirnya akan memberikan impak seolah-olah RS1 sebagai tidak lengkap,” tegasnya.

Namun, Amirudin kemudian memberi jaminan pelaksanaan RS1 mengamalkan konsep pemisahan kuasa antara eksekutif dan legislatif supaya setiap ADUN dapat memainkan peranan masing-masing.

“Proses konsultasi boleh dibincangkan. Sebab itu kita terbuka. Saya tidak pernah menutup ruang untuk bertanya dan RS1 disebutkan sejak 2020. Pelan kita untuk 2021, tetapi pandemik akhirnya terpaksa bentang pada tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.