PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen hari ini mempersoalkan kaedah siasatan penipuan dalam talian apabila terdapat agensi tolak-menolak aduan yang dikemukakan oleh mangsa terlibat.
Perkara itu dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) apabila mereka mempertikai cara siasatan penipuan dalam talian oleh sesetengah agensi dan badan penguat kuasa dengan mengatakan kes itu bukan di bawah tanggungjawab mereka.
“Bila mangsa buat aduan kepada polis, mereka kata itu di bawah Bank Negara dan pihak sama pula kata sebaliknya, akhirnya wang mangsa hilang begitu sahaja,” soal Poay Tiong.
Pandangan sama juga dibangkitkan Johari apabila tindakan demikian menyebabkan siasatan penipuan dalam talian habis begitu sahaja dan menyebabkan kegiatan tersebut terus berleluasa.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu pusat sehenti agar saluran aduan kes itu dapat ditangani dengan segera.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa memaklumkan, kerajaan sudah mewujudkan satu pusat sehenti dengan melibatkan kerjasama Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi-agensi lain.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) agar Seksyen 420 Kanun Keseksaan dipinda untuk memasukkan elemen penipuan dalam talian untuk mengekang kes scam.
“Kerajaan mengambil maklum pandangan-pandangan Yang Berhormat sekalian,” katanya.
Terdahulu, Shamsul Iskandar berkata, akta itu perlu dipinda memandangkan mempunyai penipuan bersemuka dan tidak melibatkan kes scam. – UTUSAN










