Sharifah Sahora pernah menangis masa belajar, titip nasihat untuk pelajar yang tertekan - Utusan Malaysia

Sharifah Sahora pernah menangis masa belajar, titip nasihat untuk pelajar yang tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Sharifah Sahora berkongsi kisah zaman belajarnya dahulu yang jauh lebih susah kerana langsung tiada kemudahan aplikasi moden seperti ChatGPT untuk membantu menyiapkan tugasan yang diberikan.

Sharifah Sahora atau Sharifah Shahora Syed Akil, 54, berkata, dia menganggap rasa penat dan tertekan semasa belajar di Universiti adalah perkara biasa yang perlu dilalui oleh semua pelajar sebelum berjaya memegang segulung ijazah.

“Saya pun sama sahaja semasa ambil ijazah dahulu, kena pergi penggambaran pukul 8 pagi dan balik rumah pukul 1 atau 2 pagi dengan tugasan kelas yang sudah dekat tarikh akhir.

“Menangis juga masa itu, lagipun aplikasi ChatGPT atau apa-apa sistem belum ada lagi untuk bantu kita,” katanya menerusi satu hantaran komen di Threads.

Pelakon itu berkata demikian bagi mengulas luahan hati seorang pelajar di Threads yang mengaku berasa sangat tertekan sehingga berniat mahu memohon cuti khas kerana projek tahun akhir (FYP) miliknya langsung tidak berjalan pada minggu ke-10 pengajian.

Sambil bersimpati dengan situasi itu, Sharifah Sahora mencadangkan agar pelajar terbabit tidak perlu mengambil cuti khas yang lama dan memadai dengan hanya berehat selama satu atau dua hari sahaja bagi menenangkan fikiran yang kusut.

“Sayangnya, semua yang belajar akan lalui fasa ini. Ambil cuti satu atau dua hari bagi fikiran tenang.
Bila awak sudah tamat pengajian nanti, pasti awak akan terpaling bahagia atas kejayaan awak sendiri. Semoga kuat,” katanya.

Untuk rekod, Sharifah Sahora merupakan pelakon dan pengarah tempatan yang terkenal menerusi filem popular seperti Gila-Gila Pengantin dan Man Laksa, selain sering menghiasi skrin televisyen menerusi pelbagai drama rantaian popular tanah air sejak era 90-an lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN