KUALA LUMPUR: Hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn. Bhd. dan Suria Synergy Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) tidak meningkatkan hutang kerajaan secara langsung yang kini berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Menjelaskan perkara tersebut, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, 1MDB, SRC dan SSER adalah entiti menerima jaminan kerajaan bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 atau Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan.
“Oleh itu, entiti ini akan memberikan pendedahan risiko liabiliti luar jangka kepada kerajaan selagi komitmen hutang entiti tersebut masih belum selesai.
“Entiti ini juga dikategorikan sebagai komitmen jaminan kerana menerima peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi membantu dalam bayaran komitmen hutang,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Kah Woh meminta kerajaan menjelaskan mengenai berapa jumlah hutang negara setakat ini dan bagaimana hutang atau jaminan 1MDB, SRC dan SSER menyumbang kepada hutang negara yang tinggi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, baki komitmen hutang 1MDB yang melibatkan bayaran prinsipal serta faedah kepada dua bon dan satu sukuk adalah sebanyak RM32.08 bilion dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk AS$1 bersamaan RM4.50.
Katanya, manakala baki komitmen hutang SSER yang melibatkan bayaran prinsipal dan faedah berjumlah RM8.78 bilion, dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk RMB1 bersamaan RM0.6588 bagi tempoh yang sama.
“Bagaimanapun, komitmen hutang SRC telah pun selesai pada 28 Mac 2022 yang lalu,” katanya.










