Dasar Pandang ke Timur banyak menyumbang kepada negara - PM - Utusan Malaysia

Dasar Pandang ke Timur banyak menyumbang kepada negara – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar Pandang ke Timur telah banyak memberikan sumbangan kepada negara dalam pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi terutamanya sektor perkilangan dan perindustrian di Malaysia sejak diperkenalkan pada 1982.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, perkembangan sektor perindustrian negara sejak 1980-an merupakan hasil kerjasama erat Malaysia-Jepun yang kini diperkasakan dengan pengenalan Dasar Pandang ke Timur 2.0 pada 2013.

“Ini membuka ruang dan peluang kepada Malaysia dan Jepun untuk meneroka kerjasama dalam sektor baharu, yang menjadi keutamaan dan memberikan manfaat bersama.

“Dasar ini menjurus kepada bidang pelaburan dan perdagangan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan teknologi dan infrastruktur, di samping mengekalkan teras pembangunan modal insan.

“Justeru, saya amat berbangga bahawa hubungan ekonomi dua hala yang erat ini dimanifestasikan melalui peningkatan dalam jumlah perdagangan dua hala yang memberangsangkan sejak dasar ini diperkenalkan,” katanya.

Ucapannya disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Seminar Perniagaan sempena Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang ke Timur.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menggesa agar bidang-bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat diterokai oleh kedua-dua negara.

Ini kerana, katanya, negara akan berdepan dengan isu-isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dalam tempoh 10 Tahun akan datang.

“Justeru, kita perlu mempelbagaikan kerjasama, termasuklah dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, Sains, Teknologi dan Inovasi serta pertumbuhan hijau,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerjasama dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, dan Internet pelbagai benda (Internet of Things) yang menyaksikan Jepun mempunyai kepakaran yang tinggi juga perlu dipertingkatkan.

“Ini akan dapat menjamin kemampanan dasar ini untuk tahun-tahun yang mendatang. 

“Oleh itu, saya berharap kerajaan Jepun akan memberikan sokongan padu yang berterusan bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam bidang berkenaan,” katanya.

Malah, katanya, Malaysia sebagai pelopor dalam industri halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi dalam membangunkan industri halalnya.

Tahun ini, selain menyambut ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur, Malaysia dan Jepun menyambut ulang tahun ke-65 dalam hubungan diplomatik, dengan kedutaan Jepun dibuka di Kuala Lumpur sejak 9 September 1957.

Jepun kini merupakan rakan dagang keempat terbesar dan menjadi antara sumber pelaburan asing yang utama bagi Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya