MELAKA: Tugas besar perlu dipikul kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Melaka selepas pucuk pimpinan tertinggi parti menyasarkan lima kerusi Parlimen perlu dimenangi di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Meskipun berat, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran lebih 80 peratus itu tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan keupayaan parti yang memperoleh majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Walaupun tidak menamakan secara jelas, lima kerusi berkenaan dipercayai adalah Tangga Batu, Jasin, Hang Tuah Jaya, Masjid Tanah dan Alor Gajah.
“Melaka mesti berupaya memberikan kami lima kerusi Parlimen supaya boleh menubuhkan kerajaan BN dan merampas Putrajaya. Boleh tak boleh Datuk Rauf (Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh)? Itu you (awak) punya pasal.
“Saya yakin Melaka boleh beri kami lima kerusi untuk menubuhkan kerajaan. Siapa sangka Melaka boleh menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)? Tetapi lihat di mana kekuatan kita,” katanya ketika berucap sempena lawatannya meninjau persiapan BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Pada PRU14, BN menang di dua kerusi Parlimen di Melaka iaitu Masjid Tanah dan Jasin, sebelum Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember 2018.
Selain Masjid Tanah, Perikatan Nasional (PN) turut menguasai kerusi Alor Gajah melalui Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof (Bersatu).
Pakatan Harapan (PH) pula menang di tiga Parlimen iaitu Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin (PKR); Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) dan Tangga Batu, Rusnah Aluai (PKR). – UTUSAN