KUALA LUMPUR: Tindakan panel hakim Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini ditunggu-tunggu kerana ia membawa implikasi besar kepada bekas Perdana Menteri itu sekiranya panel itu memutuskan untuk meneruskan prosiding rayuan kes SRC Internasional Sdn Bhd. tanpa kehadiran peguam bela.
Sidang di Dewan Bicara 2, hari ini pada awalnya akan menyaksikan sama ada Najib berjaya memasukkan bukti baharu sekali gus mengakibatkan prosiding rayuan ditangguhkan.
Kemungkinan kedua, panel hakim tidak menangguhkan prosiding walaupun barisan peguam belanya melakukan walkout dari Dewan Bicara 2 dan mengarahkan Najib membela diri sendiri.
Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners (ZIST) menafikan akan berbuat demikian sebaliknya memaklumkan akan terus teguh mewakili Najib selagi mereka diberikan kepercayaan.
Peguam bela utama Najib, Hisyam Teh Poh Teck masih tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen terkini pasukan itu mengenai perkara tersebut.
Peguam
Untuk makluman, Hisyam bukanlah peguam yang bernaung di bawah ZIST sebaliknya beliau adalah peguam luar yang dilantik oleh firma tersebut untuk mengetuai pasukan pembelaan baharu bekas Perdana Menteri.
ZIST dilantik bekas presiden UMNO itu pada 25 Julai lalu bagi menggantikan firma guaman, Tetuan Shafee & Co. manakala Hisyam (daripada Tetuan Hisyam Teh) dilantik oleh ZIST untuk menggantikan peguam bela terdahulu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Turut sama dalam pasukan baharu itu ialah peguam-peguam, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.
Difahamkan, sekiranya tindakan walkout berlaku, ia merupakan kali pertama insiden tersebut dalam sejarah perundangan.
Sekiranya ini berlaku, Najib berkemungkinan terpaksa menggalas tugas peguam-peguam belanya dan terpaksa membela dirinya sendiri.
Namun, sekiranya Najib diperintahkan untuk berbuat demikian, maka Mahkamah Persekutuan dikhuatiri bakal dikritik oleh masyarakat.
Perlembagaan
Sebagaimana termaktub dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan, seseorang individu itu berhak untuk diwakili oleh peguam pilihannya.
Namun jika Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan bagi memberikan peluang pasukan pembelaan Najib membuat persiapan yang terbaik, persoalannya, berapa lama tempoh yang wajar diberikan.
Walaupun terdapat dakwaan tindakan Najib menukar barisan peguam sebagai langkah menangguhkan rayuan akhirnya paling tidak sehingga tamat Pilihan Raya Umum ke-15, namun dari segi undang-undang beliau berhak untuk berbuat demikian.
Sebagai peminat sukan bola sepak, Najib kini boleh diibaratkan seperti berada di minit-minit terakhir ‘perlawanan’ mungkin membuat penukaran itu dengan menurunkan super sub (pemain gantian yang terbaik) dalam usaha untuk mengubahkan corak ‘perlawanan’ bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
Apa yang diperlukan oleh Najib sekarang ialah ‘masa tambahan’ daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dijangka mengetuai panel hakim.
Najib didakwa sebanyak dua kali di Mahkamah Sesyen di sini iaitu pada 4 Julai dan 8 Ogos 2018. Bagaimanapun, perbicaraannya hanya bermula pada 3 April 2019.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib dan turut menyifatkan kesalahan yang dilakukan bekas Perdana Menteri itu sebagai memalukan negara.
Hari ini mahkamah menetapkan sembilan hari untuk mendengar rayuan akhirnya. Rayuan tersebut bakal menentukan untung nasib Najib.
Jika bernasib baik, maka pulanglah Najib ke pangkuan keluarga. Jika tidak, hanya pengampunan Diraja yang dapat mengubah nasib Ahli Parlimen Pekan itu.- UTUSAN










