PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju melantik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full sebagai Ketua Sayap Bersekutu parti itu yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya dilaporkan keluar parti tersebut.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia sebagai antara usaha bagi terus merancakkan penglibatan ahli-ahli Bersekutu dalam gerak kerja jentera parti.
“Bagi menyuntik kekuatan baharu jentera parti dalam kalangan golongan muda pula, mesyuarat sebulat suara bersetuju melantik Nur Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja).
“Pelantikan-pelantikan ini adalah sebahagian daripada ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi pilihan raya parti di peringkat pusat dan ia juga mencerminkan kesiapsiagaan Bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Hamzah berkata, mesyuarat merakamkan ucapan setinggi tahniah atas kejayaan besar Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa pada 30 Julai lalu.
“Selain itu, mesyuarat juga membincangkan secara terperinci dan memuktamadkan beberapa strategi serta pendekatan khusus Bersatu bagi memperkukuh jentera dan menambah baik gerak kerja menghadapi PRU15,” jelasnya. – UTUSAN