fbpx

Beraksi ala Superman, tiga penunggang motosikal ditahan

SALAH seorang penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah Barat Daya di Bayan Baru, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

BALIK PULAU: Tindakan tiga lelaki menunggang motosikal ala Superman di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran kawasan perindustrian di Bayan Baru di sini mengundang padah apabila mereka ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua suspek lelaki berusia 19, 21 dan 36 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan pukul 1 hingga 7 pagi tadi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Katanya, ketika operasi dijalankan pihak polis mendapati terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara menduga kelajuan serta beraksi membongkokkan badan (aksi Superman).

“Perbuatan ini jelas membahayakan penunggang motosikal sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

“Polis berjaya menahan tiga lelaki untuk disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kita turut mengeluarkan 11 saman terhadap ketiga-tiga lelaki ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, tangkapan pertama yang berusia 19 tahun dikenakan enam saman manakala tangkapan kedua yang berusia 21 tahun dikenakan satu saman dan kedua-dua mereka merupakan pekerja kilang.

“Tangkapan ketiga yang berusia 36 tahun dikenakan empat saman dan dia bekerja sebagai juruteknik lif.

“Menerusi siasatan ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, menerusi operasi sama, polis turut menyita dua buah motosikal dan lapan saman dikeluarkan ke atas penunggang lain. 

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah melakukan kegiatan yang tidak berfaedah seperti menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

“Pihak polis akan sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa terutamanya pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan samseng jalanan ini,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!