Bengkel YSEALI perkasa pemimpin muda, galakkan kepelbagaian

Bengkel YSEALI perkasa pemimpin muda, galakkan kepelbagaian, keterangkuman

YSEALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, dengan kerjasama Cultural Vistas telah menganjurkan Bengkel Serantau Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI): Kepelbagaian, Keterangkuman, dan Belia.

Ia menggalakkan perbincangan  mengenai kepelbagaian dan keterangkuman dalam kalangan pemimpin muda dari Malaysia, negara anggota ASEAN yang lain, dan Timor-Leste, serta  membina kapasiti mereka dalam melaksanakan inisiatif kepelbagaian di tempat kerja masing-masing.

Bengkel tiga hari ini akan diadakan di Kuala Lumpur dari 18-20 Ogos dan akan menghimpunkan kira-kira 80 peserta dari seluruh Asia Tenggara.

Cultural Vistas akan membimbing peserta dalam menggunakan kerangka dan alatan yang berbeza untuk mengenal pasti cabaran terhadap kepelbagaian dan keterangkuman, membangunkan strategi, dan menentukan amalan terbaik untuk mengurus usaha kepelbagaian dan menggalakkan keterangkuman dalam persekitaran tempat kerja mereka.

Peserta akan belajar cara menerapkan pemikiran reka bentuk bertumpukan kepada manusia untuk inisiatif kepelbagaian dan keterangkuman serta menggunakan Alatan Penanda Aras Keterangkuman Kepelbagaian Global untuk mengukur kemajuan dalam amalan kepelbagaian dan keterangkuman.

Menjelang akhir bengkel, peserta-peserta dalam pasukan pelbagai negara akan membangunkan dan membentangkan pelan tindakan strategik mereka untuk mengembangkan usaha kepelbagaian dan keterangkuman untuk organisasi dan komuniti pilihan mereka di seluruh rantau ASEAN dan Timor Leste.

Ia telah dilancarkan oleh , Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hadir sama Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Michael Newbill.

Ramona dalam ucapannya berkata, Malaysia berbesar hati  menjadi tuan rumah kepada bengkel itu kerana negara ini merupakan contoh terbaik untuk mempamerkan tema penerimaan kepelbagaian dan keterangkuman dalam agenda pembangunan.

Katanya, YSEALI DIY menyediakan platform untuk pemimpin muda kita bukan sahaja memahami tetapi juga untuk mendidik, berbincang, berkongsi amalan terbaik dan membangunkan pelan tindakan untuk mengukuhkan lagi kepelbagaian dan keterangkuman dalam masyarakat.

“Kementerian percaya bahawa penyertaan belia yang bermakna, pelbagai dan berkesan adalah penting dalam pembangunan negara. Malaysia gembira untuk menerajui inisiatif serantau yang menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman.

“Oleh itu, kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Kedutaan A.S. dan rakan kongsi lain dari rantau ini untuk meneruskan agenda keterangkuman dalam semua aspek usaha profesional dan peribadi belia,” katanya.

Newbill pula berkata, Kedutaan A.S. Kuala Lumpur berbangga dapat memudahkan perbincangan  sedemikian bersama  kerangka dan alatan untuk merealisasikan matlamat kepelbagaian dan keterangkuman anda.

“Kami menamakan Bengkel Serantau ini “YSEALI DIY,” yang bermaksud Diversity (Kepelbagaian), Inclusion (Keterangkuman), dan Youth (Belia), namun ia juga menggalakkan sudut pandangan “lakukan sendiri” atau DIY.

“Jika anda tidak melihat jenis tindakan yang anda inginkan mengenai isu ini, kami berharap dapat memberikan kit alatan kepada anda untuk dijadikan model amalan terbaik di negara asal anda,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN