Bajet 2023 bersandarkan fakta, realiti

Bajet 2023 bersandarkan fakta, realiti

MOHD. Shahar Abdullah (tengah) menerima buku 'Koleksi Esei 5 Prinsip Rukun Negara' daripada Presiden Alumni GPMS, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad (kiri) pada Sesi Libat Urus Bersama Alumni GPMS dan Pewaris sempena Jelajah Bajet 2023 di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kewangan tidak mahu mendengar komen atau pandangan yang bersifat ‘kosmetik’ semata-mata untuk menjaga hati kerajaan dalam sesi libat urus Bajet 2023.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, ini kerana Bajet 2023 mesti bersandarkan kepada fakta dan realiti rakyat semasa agar bajet tersebut bersifat kondusif dan memahami denyut nadi rakyat.

“Kita sangat terbuka menerima semua pandangan pelbagai pihak sebagai asas intipati pembentangan Bajet 2023 akan datang kerana mahu bajet itu bersifat dinamik demi pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih baik untuk tahun depan.

“Meskipun banyak cadangan dan pandangan yang kritikal terhadap kerajaan dilontarkan dalam sesi libat urus Bajet 2023, ia sangat dialu-alukan kerana itu antara fokus utama kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Makan Malam dan Sesi Libat Urus Bersama Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Warisan Pendidikan Negeri Terengganu (Pewaris) sempena Jelajah Bajet 2023 di sini, semalam.

Menurutnya, dalam setiap sesi libat urus Bajet 2023, kerajaan memerlukan maklum balas yang betul dari akar umbi supaya dapat memformulasikan satu bajet yang sangat tepat untuk semua rakyat pelbagai lapisan.

Tambahnya, kerajaan juga menjanjikan bahawa Bajet 2023 adalah fleksibel yang masih boleh ditambah baik mengikut keperluan semasa.

“Kita ada pengalaman pada 2021 apabila kita bentangkan bajet terutamanya untuk perusahaan mikro dan sederhana….pada mulanya kita letakkan satu jumlah, tetapi ia tidak mencukupi dan perlu ditambah semula.

“Jadi saya nak beritahu bahawa bajet 2023 ini nanti adalah bersifat dinamik dan tidak statik. Walaupun kita dah bentang dan dapati tidak memenuhi kepentingan rakyat, masih boleh dilakukan penambah baikan kerana yang paling penting, hasrat rakyat tercapai dengan baik,” katanya.

Beliau memberitahu, Terengganu merupakan negeri ketiga yang dikunjungi untuk sesi libat urus itu selepas Johor dan Kelantan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN