PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Amerika Syarikat (AS) menilai semula penarafan Tier 3 kepada Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan negara itu, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, beliau telah menyatakan komitmen berterusan Malaysia di dalam usaha menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran negara sewaktu Majlis Makan Tengah Hari bersama Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi.
Mengenai situasi di Myanmar pula, beliau menggesa AS memainkan peranan yang lebih penting untuk mencapai penyelesaian terbaik terhadap krisis itu termasuk membantu penyelesaian isu Rohingya.
“Semasa majlis makan tengah hari, saya telah menyatakan komitmen berterusan Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.
“Saya telah meminta Amerika Syarikat supaya menilai semula penarafan Tier 3 kepada Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan oleh negara itu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri menerima kunjungan hormat Pelosi di sebuah hotel hari ini.
Sebelum ini Malaysia dilaporkan kekal berada pada tahap tiga dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara AS Mengenai Pemerdagangan Orang (Us Tip Report) 2022.
Memetik laporan yang dikeluarkan, Jabatan Negara AS berkata, Kerajaan Malaysia sudah mengambil ‘beberapa langkah’ untuk menangani isu pemerdagangan seperti meminda Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Akta Pekerjaan untuk memasukkan definisi buruh paksa yang lebih luas.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Malaysia dan AS telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 60 tahun lalu selain menjadi rakan kongsi penting dalam semua bidang.
“Sebagai contoh, dalam bidang ekonomi, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang dan pelabur utama Malaysia. Pada tahun ini, nilai dagangan Malaysia-Amerika Syarikat berjumlah RM216.97 bilion, manakala nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM117.44 bilion,” jelas beliau.
Dalam kerjasama pertahanan, Ismail Sabri berkata, Malaysia menghargai bantuan yang diterima dari AS melebihi AS$200 juta sehingga tahun ini.
“Begitu juga semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19, Amerika Syarikat banyak membantu termasuk bantuan percuma vaksin Pfizer sebanyak satu juta dos,” katanya.
Pelosi mengadakan lawatan sulung rasminya ke Malaysia yang merupakan sebahagian rangka lawatan rasmi ke beberapa negara Asia di mana Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura semalam sebelum ke Korea Selatan dan Jepun.
Beliau selaku pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti Presiden AS dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan AS tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pagi ini.
Beliau kemudian mengadakan kunjung hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Haron di Bangunan Parlimen. – UTUSAN










